Kelab Wiki Kent: Rangkuman Setahun

Translate this post

Selepas 9 bulan diperkenalkan kepada komuniti Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent, Kelab Wiki Kent berjaya dilancarkan secara rasmi pada 18 Ogos 2023. Lebih bermakna apabila ia telah dilancarkan ketika persidangan Wikimania 2023 di Singapura.

Gambar kumpulan bersama Wikimediawan Malaysia di Wikimania Singapura 2023. Jjurieee, CC BY-SA 4.0, dari Wikimedia Commons

Penubuhan Kelab Wiki Kent adalah hasil persefahaman dan kerjasama antara pensyarah di IPGM Kampus Kent khususnya dari Jabatan Bahasa Kadazandusun (JBKD) dengan penggerak Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia (KKP Wikimedia Malaysia).

Sepanjang setahun ini, banyak kegiatan Kelab Wiki Kent telah diadakan. Ia bertumpu kepada pengembangan budaya dan bahasa Kadazandusun, selain membebaskan pengetahuan melalui projek-projek Wikimedia.

Program utama

Terdapat tiga program utama yang menjadi tumpuan Kelab Wiki Kent pada tahun ini bagi sesi 2023/2024, iaitu: Wiki id Sikul, WikiKaamatan dan WikiTour.

Wiki id Sikul

Gambar kumpulan dengan pelajar dari guru Sekolah Kebangsaan Kindu. Evaaudreyanne, CC BY 4.0, dari Wikimedia Commons

Wiki id Sikul, atau “Wiki di Sekolah” ialah siri program yang diadakan di sekolah-sekolah terpilih bagi memperkenalkan Wikimedia kepada pelajar dan masyarakat setempat. Selain itu, ia juga menjadi program untuk mendokumentasikan budaya tempatan ke dalam platform Wikimedia. Sepanjang tempoh setahun ini, dua buah sekolah dan kampung telah dikunjungi iaitu Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau dan Sekolah Kebangsaan Kindu, Tuaran, kedua-duanya di Sabah, Malaysia.

Sebuah hantaran Diff pernah dibuat dengan judul Melayu “Kelab Wiki Kent Menggalakkan Penyertaan Pelajar Sekolah Rendah dalam Projek Wikimedia”. Hantaran ini juga mempunyai versi Inggeris.

WikiKaamatan

Blusjai, CC BY-SA 4.0, dari Wikimedia Commons

WikiKaamatan ialah kesinambungan daripada WikiBudaya Kaamatan yang dianjurkan pada 2023. Dalam WikiKaamatan, Kelab Wiki Kent diberikan kebenaran oleh pihak penganjur Sambutan Pesta Kaamatan untuk membuka reruai bagi kunjungan orang ramai, di tapak program yang bertempat di Dewan Kesatuan (Hongkod Koisaan) KDCA, Penampang, Sabah. Melalui WikiKaamatan juga, Kelab Wiki Kent berjaya merakamkan ribuan gambar yang mendokumenkan budaya ketika sambutan perayaan utama masyarakat Kadazandusun, iaitu Pesta Kaamatan diadakan.

Dua buah hantaran Diff pernah dibuat; satu berjudul Melayu “WikiKaamatan: 1500+ Gambar Kaamatan di Wikimedia Commons Berjaya Dimuat Naik oleh Kelab Wiki Kent” (juga mempunyai versi Dusun dan Inggeris), dan satu lagi berjudul Inggeris “Celebrating Harvest Festival: An In-Depth Exploration of Kadazandusun Culture through WikiKaamatan 2024

WikiTour

WikiTour ialah siri program jelajah ke pusat pendidikan bagi mengadakan bengkel Wikikamus untuk bahasa etnik di Malaysia, selain memperkenalkan projek Wikimedia lain seperti Wikipedia dan Wikimedia Commons. Ia merupakan program yang mendapat peruntukan dana cepat dari Dana Komuniti Wikimedia. Melalui program ini, kami dapat memperkenalkan Wikikamus kepada 3 kumpulan sasaran iaitu: Guru-guru dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (untuk bahasa Iban), Mahasiswa-mahasiswa program bahasa Kadazandusun di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (untuk bahasa Kadazandusun) dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan (untuk bahasa etnik masing-masing). Di kesempatan ini, kami ingin berterima kasih kepada jawatankuasa yang meluluskan permohonan dana ini.

Penyertaan di persidangan antarabangsa

Dalam setahun ini juga, Kelab Wiki Kent aktif menghantar perwakilan untuk menyertai program yang diadakan oleh Wikimedia. Ini secara tidak langsung dapat memberi peluang untuk memperkenalkan Kelab kepada komuniti Wikimedia yang lain.

Pertama, Persidangan Wikimedia ESEAP 2024 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia. Seramai 16 orang ahli Kelab telah menyertai persidangan ini, sebagai jawatankuasa pelaksana, peserta dan pembentang. Program 3 hari 2 malam ini memberikan pendedahan dan peluang kepada ahli untuk terlibat menjayakan persidangan dan bertemu para Wikimediawan dari rantau Asia Timur, Asia Tenggara dan Pasifik (ESEAP).

Jjurieee, CC BY-SA 4.0, dari Wikimedia Commons

Kedua, Wikimania 2024 yang diadakan di Katowice, Poland. Seramai 3 orang ahli Kelab telah berpeluang untuk menyertai persidangan pada kali ini. Ini merupakan Wikimania kedua bagi mereka bertiga selepas Wikimania Singapura 2023. Tema teknologi yang ditetapkan Wikimania kali ini sangat bertepatan dan memberi buah fikiran untuk dikongsikan dan dilaksanakan kepada kumpulan sasar Kelab Wiki Kent di masa akan datang. Antara yang menarik perhatian ialah bagaimana seorang Wikimediawan mengintegrasikan budaya Wikimedia dalam hobi sehariannya dan bagaimana para pendidik dapat mengaplikasikan platform Wikimedia sebagai alatan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah atau sebagai rujukan dalam penyelidikan.

Gambar kumpulan bersama Wikimediawan Malaysia di Wikimania Katowice 2024. Youngjin Ko, CC BY 4.0, dari Wikimedia Commons

Kepimpinan baharu

Mencecah usia setahun, pada 19 Julai 2024, mesyuarat agung tahunan Kelab Wiki Kent kali pertama telah diadakan. Dalam mesyuarat kali ini, beberapa urusan berkaitan kepimpinan dan pengurusan organisasi telah diputuskan seperti:

  • Sesi peralihan kepimpinan telah berlaku, di mana Jawatankuasa Kelab sesi 2023/2024 dibubarkan dan Jawatankuasa baharu bagi sesi 2024/2025 dibentuk.
  • Bluster Jainon telah dipilih dengan sokongan majoriti sebagai Pengerusi Kelab yang baharu.
  • Moto kelab iaitu “Okon nopo ko yati, isai po?” yang bermaksud “Kalau bukan kita, siapa lagi” telah diubah kepada moto baharu iaitu “Boros nopo nga guas toilaan” yang bermaksud “Bahasa ialah tonggak pengetahuan”.
  • The mission for the new session is “Cultivating the use of Kadazandusun Language in online information sharing,” with the vision of “Strengthening the role of Kadazandusun Language in online information sharing.”

Logo baharu

Genap setahun, pada 18 Ogos 2024, majlis sambutan 365 hari penubuhan kelab telah diadakan. Ahli kelab meraikan dengan pemotongan kek.

This image has an empty alt attribute; its file name is 2048px-Sambutan_ulang_tahun_pertama_Kelab_Wikikent.jpg

Dalam majlis ini turut diperkenalkan logo baharu yang telah dihasilkan oleh KKP Wikimedia Malaysia untuk Kelab Wiki Kent.

Wikimedia Malaysia, CC BY 4.0 dari Wikimedia Commons

Tekad dan harapan

Melangkah ke hadapan, Kelab Wiki Kent perlu terus memainkan peranan untuk memartabatkan dan memperkasakan lagi budaya dan bahasa Kadazandusun, selain memperkenalkan projek-projek Wikimedia kepada komuniti setempat. Komitmen dan cinta kepada warisan perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha membebaskan pengetahuan budaya dan bahasa Kadazandusun ini melalui platform Wikimedia.

Alansan do kalantoi, Kalab Wiki Kent! (Selamat maju jaya, Kelab Wiki Kent!)

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?