Trend Global 2025

Translate this post

Setiap tahun, ketika Yayasan Wikimedia memulakan perancangan tahunan untuk tahun hadapan, kami menyusun senarai trend yang kami percaya akan memberi kesan ketara terhadap konteks operasi gerakan dan projek Wikimedia. Kami mengenal pasti trend dalam talian yang paling relevan dengan misi kami, seperti perubahan dalam cara dan tempat orang mencari serta menyumbang maklumat dalam talian, peningkatan maklumat salah dan disinformasi di ruang digital, serta peraturan yang semakin berkembang terhadap penyedia maklumat dalam talian. Analisis ini membolehkan kami memulakan perancangan dengan persoalan panduan, “Apakah yang dunia perlukan daripada Wikimedia sekarang?”

Soalan ini menjadi pemacu perbincangan dalam kalangan gerakan dan merentasi komuniti. Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, trend yang disenaraikan di bawah menunjukkan betapa berbezanya persekitaran teknologi, geopolitik, dan sosial kita hari ini berbanding ketika Wikipedia diasaskan serta keperluan untuk terus menyesuaikan diri dan berkembang. Setiap trend ini akan membentuk rancangan tahunan kami serta strategi yang mempengaruhi masa depan bermula daripada memperkukuh perlindungan terhadap ahli Wikimedia melalui alat teknologi yang kukuh dan langkah keselamatan serta kepercayaan, hinggalah kepada eksperimen yang membawa kandungan Wikimedia kepada khalayak dengan cara baharu.

Perubahan dalam cara dan tempat orang menerima serta menyumbang maklumat

Kepercayaan terhadap maklumat dalam talian semakin merosot, dan persefahaman bersama mengenai kebenaran serta kebolehpercayaan maklumat semakin terpecah. Tahun lalu, kami menyedari bahawa pengguna dibanjiri dengan maklumat dalam talian dan semakin cenderung mahu maklumat tersebut disusun oleh individu yang dipercayai. Dengan pelancaran Google AI Overviews dan produk carian AI lain, ramai yang kini dibantu oleh AI semasa mencari maklumat di web. Namun, carian berasaskan AI masih belum menggantikan sepenuhnya kaedah lain yang digunakan oleh orang ramai untuk mendapatkan maklumat (contohnya, melalui enjin carian web tradisional atau platform media sosial). Walau bagaimanapun, trend yang kami perhatikan tahun lalu iaitu pergantungan kepada individu yang dipercayai semakin mengukuh. Orang ramai semakin skeptikal terhadap pihak berkuasa pengetahuan tradisional, seperti institusi kerajaan dan media, dan sebaliknya beralih kepada personaliti dalam talian yang semakin berpengaruh dalam membentuk kepercayaan dan persepsi masyarakat. Personaliti dalam talian (contohnya, podcaster, vlogger) di platform media sosial kini memainkan peranan yang lebih besar dalam acara penting seperti pilihan raya politik di peringkat global. Kecenderungan mencari personaliti yang berkongsi ideologi dan latar belakang demografi yang serupa menjadikan orang ramai semakin terperangkap seolah dalam gelembung penapis terasing yang menyebabkan perpecahan dalam persefahaman bersama mengenai fakta

Orang ramai bersemangat menyertai ruang dalam talian yang menawarkan hubungan yang bermakna. Sebagai sebuah laman sesawang yang bergantung pada sumbangan dan masa ratusan ribu ahli Wikimedia, kami mengikuti dengan teliti trend mengenai tempat dan cara orang menyumbang dalam talian. Tahun lalu, kami menekankan bahawa terdapat pelbagai cara yang bermanfaat dan berkesan untuk berkongsi pengetahuan secara dalam talian. Tahun ini, kami mendapati bahawa orang di seluruh dunia semakin aktif menyertai dan berkongsi pengetahuan serta kepakaran mereka dalam kumpulan kecil berasaskan minat (di platform seperti Facebook, WhatsApp, Reddit, dan Discord). Ruang sebegini semakin popular di peringkat global dan membuatkan orang berasa lebih selesa untuk turut serta berbanding saluran sosial yang luas dan umum. Sekumpulan sukarelawan yang berdedikasi menguruskan komuniti ini, melaksanakan tugas penting seperti pemantauan kandungan dan bimbingan kepada ahli baharu.

Bagi golongan muda khususnya, permainan video telah menjadi ruang interaktif yang menyaingi media sosial. Komuniti permainan telah terbentuk di platform seperti Discord dan Twitch, tempat orang secara aktif turut serta dan mencipta kandungan bersama—menganjurkan acara atau memantau kandungan serta tingkah laku pengguna—bukan sekadar bermain. Platform ini juga memanfaatkan permainan untuk meningkatkan penglibatan pengguna terhadap produk lain yang tidak berkaitan, seperti bahagian permainan The New York Times yang berjaya dan semakin berkembang.

Orang ramai mempunyai jumlah masa yang terhad untuk diluangkan dalam aktiviti dalam talian, dan kami mengesyaki bahawa salah satu punca penurunan dalam jumlah pengguna baharu yang mendaftar sebagai penyunting di projek Wikimedia bermula pada 2020-2021 dan masih berterusan hingga kini mungkin berkaitan dengan populariti dan daya tarikan yang semakin meningkat dalam penyertaan di ruang dalam talian lain yang lebih memuaskan.

Perubahan dalam cara maklumat dalam talian diedarkan dan dikawal

Maklumat digital yang dihasilkan dan disahkan oleh manusia merupakan aset paling bernilai dalam persaingan platform teknologi AI. Tahun lalu, kami meramalkan bahawa AI akan dimanipulasi untuk mencipta dan menyebarkan maklumat palsu dalam talian. Tahun ini, kami melihat bahawa kandungan AI berkualiti rendah dihasilkan secara besar-besaran bukan sahaja untuk menyebarkan maklumat palsu, tetapi juga sebagai skim cepat kaya, sehingga membanjiri internet. Maklumat berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh manusia secara boleh dipercayai kini menjadi komoditi yang semakin berkurang dan bernilai, apabila platform teknologi berlumba-lumba mengumpulkannya dari web untuk diedarkan melalui pengalaman carian baharu (baik AI mahupun carian tradisional) di platform mereka. Penerbit kandungan dalam talian yang dihasilkan oleh manusia merentasi pelbagai industri (contohnya, banyak syarikat berita dan media utama di peringkat global) bertindak balas dengan merundingkan perjanjian pelesenan kandungan dengan syarikat AI dan melaksanakan paywall untuk melindungi diri mereka daripada salahguna penggunaan semula. Sekatan ini seterusnya mengurangkan lagi ketersediaan maklumat percuma dan berkualiti tinggi kepada orang ramai.

Pergolakan terhadap maklumat yang neutral dan boleh disahkan mengancam akses kepada projek pengetahuan serta penyumbangnya. Tahun lalu, kami menekankan bahawa peraturan di peringkat global menimbulkan cabaran dan peluang bagi projek perkongsian maklumat dalam talian yang berbeza mengikut bidang kuasa. Tahun ini, cabaran dalam berkongsi maklumat yang disahkan dan neutral dalam talian telah meningkat dengan ketara. Konsensus awam mengenai makna konsep seperti “fakta” dan “neutraliti” semakin terpecah dan dipolitikkan. Kumpulan berkepentingan khas, pempengaruh, dan sesetengah kerajaan melemahkan kredibiliti sumber dalam talian yang tidak selari dengan pandangan mereka. Selain itu, terdapat juga pihak yang cuba membisukan sumber maklumat melalui litigasi yang bersifat mengganggu.

Di peringkat global, semakin banyak undang-undang yang bertujuan mengawal selia platform teknologi dalam talian tidak memberikan ruang kepada platform bukan untung yang beroperasi demi kepentingan awam, seperti inisiatif sains terbuka, repositori pengetahuan sumber ramai dan warisan budaya, serta arkib dalam talian. Peraturan dalam talian yang bersifat seragam boleh mengancam privasi penyumbang dan khalayak di platform ini serta menjejaskan amalan moderasi kandungan oleh komuniti. Sebagai contoh, undang-undang yang memaksa platform untuk mengesahkan identiti dan menjejaki tindakan pelawat atau penyumbang boleh membahayakan privasi dan keselamatan individu dalam mengakses atau berkongsi maklumat. Selain itu, terdapat peraturan yang menghendaki platform segera menghapuskan kandungan yang dilabel sebagai maklumat palsu bertentangan dengan mekanisme kawalan dalaman yang berasaskan konsensus komuniti. Platform yang mengutamakan ketepatan maklumat berbanding keuntungan mempunyai proses tersendiri untuk menangani maklumat salah secara lebih bertanggungjawab. 

Langkah seterusnya dan cara anda boleh terlibat dalam perbincangan

Seperti kemas kini kami sebelum ini kepada komuniti mengenai trend, ini bukan senarai yang menyeluruh mengenai ancaman dan peluang yang dihadapi oleh gerakan kami, tetapi lebih kepada cara untuk memulakan perbincangan dan penyelarasan mengenai bagaimana untuk memenuhi apa yang dunia perlukan daripada kami sekarang ketika kami memulakan perancangan untuk tahun kewangan yang akan datang. Awal tahun ini, Ketua Pegawai Produk & Teknologi Selena Deckelmann menjemput komuniti global kami untuk berkongsi berkenaan trend dan perubahan yang paling penting bagi mereka – kami menggalakkan anda untuk meneruskan perbincangan di halaman perbincangan ini. Dalam beberapa bulan akan datang, Yayasan Wikimedia akan menerbitkan draf rancangan tahunan untuk menggariskan kerja yang dicadangkan untuk tahun hadapan sebagai tindak balas kepada trend ini. Beberapa kerja sudah pun dijalankan sebagai contoh, untuk menangani penurunan penyunting baharu, kami sedang menambah jenis “semakan penyuntingan,” aliran kerja pintar yang memudahkan penyuntingan mudah alih yang membina bagi ahli baharu dan meningkatkan kemungkinan mereka untuk terus menyumbang. Kami menantikan lebih banyak perbincangan komuniti mengenai bagaimana kami boleh melindungi dan mengembangkan projek pengetahuan percuma kami dalam landskap sosio-teknologi yang berubah.

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?