Wikibudaya Momogun 2025: Pelajar KV Kudat Perkasa Digitalisasi Bahasa Rungus di Wikikamus

Translate this post

Pada 20 hingga 21 Mac 2025, dalam usaha memastikan bahasa Rungus terus lestari dalam dunia digital, Kelab Wikimedia Kent bersama Jabatan Bahasa Kadazandusun (JBKD) IPGM Kampus Kent dan Wikimedia Community User Group Malaysia (WCUGM) telah berjaya menganjurkan Wikibudaya Momogun 2025! Bertempat di Kolej Vokasional Kudat (KVK), Sabah, program ini menghimpunkan 41 pelajar yang bersemangat mahu menyumbang kepada dokumentasi bahasa ibunda mereka di Wikikamus, sebuah platform sumber terbuka.

Menghidupkan Warisan: Gabungan Lawatan Budaya & Digitalisasi Bahasa

Program dua hari ini bukan sekadar bengkel digital, tetapi juga pengalaman menyeluruh dalam mengenali budaya Rungus dengan lebih dekat. Pada hari pertama, para ahli kelab berpeluang menjelajah warisan Momogun melalui lawatan ke Walai Tobilung Cultural Village, Kg. Sumangkap Gong Factory dan DMA Gombizau Honey Bee Farm. Lawatan ini bertujuan mengumpulkan bahan visual asli yang kemudian dimuat naik ke WikiCommons, menjadikannya sebahagian daripada repositori media global.

Hari kedua menyaksikan para ahli kelab mengelola bengkel Wikikamus bersama 41 orang pelajar Kolej Vokasional Kudat.“Kami bukan sahaja belajar tentang bahasa Rungus, tetapi juga bagaimana cara menyumbang ke dalam platform digital. Seronok bila tahu usaha kami boleh diakses oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia,” kata salah seorang peserta yang teruja dengan pengalaman baharu ini.

Bengkel Wikikamus kali ini dilihat mampu membuka mata para pelajar KVK tentang betapa pentingnya pendokumentasian digital dalam memastikan bahasa Rungus tidak lenyap begitu sahaja. Menurut pengerusi Kelab Wikimedia Kent dan JBKD, program ini adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk mendekatkan komuniti dengan teknologi sambil memelihara warisan budaya. “Kami mahu lebih ramai anak muda seperti mereka mengambil bahagian dalam usaha ini. Lagipun, siapa lagi yang lebih layak untuk memelihara bahasa mereka kalau bukan mereka sendiri?” kata seorang penganjur dengan penuh semangat.

Wikimedia Community User Group Malaysia, Encik Ahmad Wafiq juga menyokong penuh program ini, dengan harapan lebih banyak bahasa etnik di Malaysia dapat didokumentasikan secara digital. “Kalau kita tak mula sekarang, nanti makin susah untuk generasi seterusnya mengenali bahasa dan budaya kita,” kata seorang wakil kumpulan tersebut.

Bagi Pengarah Kolej Vokasional Kudat, Ts. Johori bin Botohong program ini adalah satu peluang luar biasa untuk pelajar mereka memahami peranan teknologi dalam melestarikan bahasa ibunda. “Ini bukan sekadar bengkel biasa, tetapi satu pengalaman yang memberi kesedaran kepada pelajar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dalam mengekalkan identiti budaya mereka,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, Wikibudaya Momogun 2025 bukan sekadar program akademik, tetapi juga satu pengalaman yang membuka minda pelajar terhadap kemungkinan tanpa batasan dalam dunia digital. Dengan sambutan yang menggalakkan, pastinya ini bukan kali terakhir pelajar KV Kudat akan terlibat dalam usaha mendigitalkan bahasa Rungus sebaliknya, ini baru permulaan!

Ketahui lebih lanjut mengenai Kelab Wikimedia Kent: Kelab Wiki Kent – Meta

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?