Nama Kelab Wikimedia Kent (KWK) sekali lagi berkumandang di pentas antarabangsa. Kali ini, dua wakil dari KWK, Ronalita Felix dan Joeivievian Jamson, telah mewakili IPGM Kampus Kent dalam ESEAP Strategy Summit 2025 yang berlangsung di Manila, Filipina, dari 23 hingga 25 Mei 2025. Ini bukanlah kali pertama Kelab Wikimedia Kent terlibat dalam acara global. Sebelum ini, beberapa wakil lain pernah menghadiri Wikimania 2023 di Singapura dan Wikimedia Summit 2024 di Katowice, Poland, menjadikan penglibatan kami dalam gerakan pengetahuan bebas semakin mapan. Namun, setiap penyertaan membawa warna, cabaran dan cerita yang berbeza dan Manila, pastinya meninggalkan kesan yang mendalam.
Menjadi Sebahagian Daripada Komuniti Serantau
Summit ini menghimpunkan lebih 87 peserta, pemimpin komuniti, aktivis bahasa, dan penyumbang kandungan dari seluruh rantau Asia Timur, Asia Tenggara dan Pasifik (ESEAP) sebanyak 21 buah negara.Kami bersama mereka merancang masa depan pergerakan Wikimedia melalui sesi strategik berkaitan governans komuniti, pendidikan, teknologi, advokasi bahasa ibunda dan keselamatan dalam talian.
Melangkaui Persidangan: Jalinan Serantau yang Kukuh
“Peluang untuk menyertai ESEAP SUMMIT Manila 2025 adalah suatu pengalaman yang amat berharga. Hasil perbincangan dari hari pertama hingga hari ketiga membuka mata kami bahawa begitu banyak usaha yang boleh dilakukan untuk mengembangkan gerakan kesukarelawanan ini. Setiap negara pastinya memiliki keunikan sendiri dari segi pembebasan pengetahuan dan hal itu harus dihormati di samping menyesuaikan gerakan Wikimedia di negara masing-masing. Dalam masa yang sama pengalaman dan kisah daripada negara lain boleh diaplikasikan di komuniti Wikimedia kita sendiri sebagai langkah untuk terus mengihidupkan generasi yang bersemangat untuk berkongsi ilmu, pengetahuan lebih-lebih lagi budaya dan komuniti setempat.
Selain perbincangan formal, summit ini membuka peluang kolaborasi serantau. Kami juga turut serta dalam Pitabangan Editathon Manila, aktiviti menyunting artikel yang menyokong komuniti setempat Filipina, memberi ruang untuk kami memahami konteks tempatan sambil menyumbang secara langsung kepada kandungan Wikipedia. Apa yang kami bawa pulang lebih besar daripada lencana peserta atau gambar kenangan ia adalah tanggungjawab untuk menyebar dan memperkasa gerakan ilmu terbuka dalam kalangan pelajar, guru pelatih, dan masyarakat pendidik di Sabah.
Dalam perancangan KWK selepas ini ialah membangunkan lebih banyak kandungan terbuka dalam bahasa tempatan. Kami percaya bahawa ilmu tidak mengenal sempadan, dan suara kecil dari satu sudut Borneo boleh bergema di peringkat global. Dengan sokongan rakan-rakan Wikimedia serantau dan semangat warga Kent, kami akan terus menjadi jambatan antara komuniti pendidikan dan dunia pengetahuan terbuka. Kelab Wikimedia Kent akan terus melangkah. Manila hanyalah satu persinggahan dan banyak lagi destinasi ilmu menanti.
Sorotan Pengalaman
Hari Pertama: Langkah Pertama Bermula (22 Mei 2025)
Kami bermula dari bumi Sabah yang tercinta, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) tepat jam 11.30 pagi. Destinasi pertama kami: KLIA, untuk transit sebelum meneruskan perjalanan ke Manila. Penerbangan kami ke Filipina dijadualkan pada jam 5.30 petang. Kami sudah rasa campur-baur, berdebar, teruja, dan penuh harapan.Sampai saja di KLIA, bermulalah episod mencari arah. Pintu C bukan main jauh, dan dalam kalut mencari kumpulan dari Wikimedia Community User Group Malaysia (WCUGM), kami secara tak sengaja… terus masuk ke bahagian imigresen antarabangsa! Sambil gelak-gelak panik, kami buat panggilan video dengan wakil WCUGM yang turut berada di KLIA ketika itu sambil tarik bagasi suasana seperti dalam vlog pengembaraan! Nasib baik semuanya selesai juga.Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) sekitar malam, kami dijemput oleh sukarelawan Filipina yang ramah. Dari situ, kami menaiki Grab menuju ke Hotel Sheraton Manila Bay. Ada satu perkara menarik pemandunya dengan sterengnya berada di sebelah kiri! Kami rasa seperti di dunia lain sebentar.
Malam itu, suasana hotel mula meriah dengan kehadiran peserta dari Jepun, Indonesia, Australia, Vietnam, dan banyak lagi. Kami sudah boleh rasa aura persidangan besar ini. Tapi yang paling menarik, Wikimedia Malaysia mengadakan acara santai Cup Noodle Party di tingkat 7 berdekatan dengan Pool dan Gym. Masing-masing pilih mi segera pilihan dari negara masing-masing, dan sesi kenalan pun bermula sambil hirup sup panas. Kami jumpa rakan dari pelbagai latar belakang dan semuanya teruja nak kongsi tentang komuniti mereka. Ini baru hari pertama, tapi rasa macam dah jumpa keluarga besar yang baru. Syukur, dengan adanya teman dari Wikimedia Malaysia yang membantu suasana agar tidak terlalu canggung lebih-lebih lagi kami sebagai pemula.
Hari Kedua: Suara Komuniti Didengari (23 Mei 2025)
Pagi itu dimulakan dengan aktiviti yang sangat interaktif: Gallery Walk. Ada lima stesen bertema, dan kami diberi peluang tampal nota idea dan cabaran komuniti pada setiap satu. Tema seperti bahasa, komuniti kecil, pengguna baharu, advokasi, semuanya sangat dekat dengan realiti kita di Malaysia khususnya gerakan Kelab Wikimedia Kent di IPGM Kampus Kent. Selepas itu, kami memilih sesi “Landscaping Global and ESEAP Regulatory Trends”, dan menariknya banyak perkara yang membuka mata. Antaranya, isu umur minimum menggunakan platform digital, hak budaya komuniti asal, dan bagaimana komuniti Wikimedia boleh bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan. Saya terbayang potensi besar di Malaysia jika hal ini dimanfaatkan. Malamnya pula… sesi karaoke! Suasana bertukar jadi festival mini. Youngji dari Korea jadi pengacara spontan. Lagu demi lagu, dan semua menyanyi ikut bahasa masing-masing inilah kekuatan sebenar komuniti pelbagai negara.
Hari Ketiga: Jaringan dan Inspirasi (24 Mei 2025)
Hari kedua persidangan dipenuhi sesi-sesi kolaboratif. Satu sesi yang saya sukai ialah “Connecting Between Affiliates”, di mana kami bincang cara bekerjasama antara negara. Kami berbual panjang dengan Angelica dari Filipina yang mana Wikimedia mereka mengajukan cadangan untuk mewujudkan Youth Hub ESEAP agar suara para belia dapat didengari dan tidak tenggelam apabila bersama dengan golongan veteran. Kami selaku Kelab Wikimedia Kent bersetuju dengan perkara ini dan ingin memberikan sokongan jika ia dilancarkan kelak. Sesi ‘Strategic Tactics for External Partnerships’ pula memberikan kami idea tentang menjalin kerjasama dengan perpustakaan, muzium, dan institusi pendidikan. Kami teringat pada projek Kadumalin oleh UMS satu contoh hebat dari Sabah yang wajar diketengahkan di peringkat serantau. Petang itu, kami turut serta dalam sesi Global Trends Workshop, kemudian jalani ESEAP Community Skills Mapping sesi yang bantu kami kenal pasti kelebihan dan keperluan komuniti masing-masing. Sangat praktikal dan berguna untuk tindakan susulan selepas balik nanti.

Hari Keempat: Refleksi dan Rancangan Masa Depan (25 Mei 2025)
Hari terakhir, kami sertai pertemuan GLAM-Wiki meetup yang merupakan perkongsian gabungan komuniti dengan galeri, perpustakaan, arkib dan muzium. Projek-projek dari Indonesia dan Korea buatkan kami semakin bersemangat. Banyak yang kita boleh lakukan di Malaysia kalau tahu cara mendekati institusi ini. Sesi penutup menyentuh tentang Global Resource Distribution Committee iaitu bagaimana geran dan sumber diagih. Kini, kami lebih faham bagaimana untuk mohon dana dengan lebih terancang. Sebelum kami ucapkan selamat tinggal, ada satu sesi refleksi yang sangat menyentuh hati. Ramai yang berkongsi cerita tentang komuniti mereka yang kecil, tentang bahasa yang hampir hilang, dan tentang harapan masa depan. Saat itu, kami sedar bahawa walau datang dari negara berbeza, kami berkongsi misi yang sama iaitu melindungi ilmu, memperjuangkan bahasa, dan membina komuniti.
Penutup
Empat hari di Manila bukan sekadar persidangan , ia jadi titik tolak semangat baharu. Kami belajar, berkongsi, dan yang paling penting, diiktiraf sebagai sebahagian daripada komuniti global.Kami pulang dengan misi:
- Menyokong ESEAP Youth
- Melaksanakan aktiviti berkonsepkan GLAM-Wiki (Gallery, Library, Archive dan Museum) di Sabah
- Mengembangkan lagi kelab dan komuniti Wikimedia belia dalam komuniti setempat
Terima kasih tak terhingga kepada semua yang membuka ruang ini , terutamanya Wikimedia Foundation dan komuniti sukarelawan. Ribuan terima kasih juga atas kebenaran daripada IPGM, para pensyarah Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent khususnya Puan Rosmahwati binti Ebbie selaku penyelaras Kelab Wikimedia Kent yang sentiasa memberikan sokongan terbaik untuk gerakan Kelab Wikimedia Kent. Apresiasi juga turut kami hulurkan untuk wakil Wikimedia Malaysia seperti Farouk Azim, Zahirul Nukman dan Gerald kerana telah memberi bantuan dan menjaga kami sepanjang Summit tersebut. Begitu juga dengan semua peserta SUMMIT 2025 yang baik hati dan begitu peramah serta sentiasa memberikan pandangan yang bernas. Semoga persahabatan serantau ini dapat terus dieratkan. Sampai jumpa di pertemuan selanjutnya.

Ketahui lebih banyak mengenai ESEAP Summit 2025:
Sidang Komuncak Strategi ESEAP 2025 – Meta

Can you help us translate this article?
In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?
Start translation