Pada 30 Jun 2025, Kelab Wikimedia Kent sekali lagi menjalin kerjasama dengan Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia untuk melaksanakan Wikitour 2.0 yang merupakan kesinambungan daripada program Wikitour 2024 sebelum ini. Namun kali ini, Wikitour 2.0 hadir dengan fokus utamanya iaitu bengkel Wikipedia kepada peserta serama 15 orang yang terdiri daripada pelajar IPGM Kampus Rajang, Sarawak. Seramai 7 orang ahli Kelab Wikimedia Kent telah dibawa kali ini yang terdiri daripada Ahli Majlis Tertinggi Kelab Wikimedia Kent dengan seorang pensyarah pengiring iaitu Dr Rosie Johnny. Perjalanan ke IPGM Rajang ini bermula pada 29 Jun 2025 dan pelaksanaan bengkelnya adalah pada 30 Jun 2025. Setelah berbengkel bersama, sambil menyelam minum air, aktiviti diteruskan dengan kegiatan WikiMamanau yang bermaksud pengambilan gambar di beberapa tempat budaya di Sarawak yang dimuat naik ke WikiCommons.

Rruunnaa, CC0

Jjurieee, CC BY-SA 4.0

Jjurieee, CC BY-SA 4.0
Perjalanan ke Sarawak bermula pada 29 Jun 2025 bersamaan dengan hari Ahad. Penerbangan yang dinaiki tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 9.30 malam. Setelah tiba, kami telah menaiki Grab ke Hotel Ming Kiong yang terletak di bandar Sibu yang mana perjalanannya mengambil masa selama 1 jam. Setelah tiba, kami telah menyimpan barang sebelum berkumpul semula untuk briefing perjalanan acara bengkel keesokan hari. Keesokan harinya, mengikut perancangan, kami akan menaiki Grab ke IPGM Kampus Rajang namun di sana kami mendapat tahu bahawa tidak ada perkhidmatan Grab di kawasan tersebut. Mujurlah ada teksi di hadapan hotel yang bersedia untuk membawa penumpang. Kami berpecah kepada 3 kumpulan dan menaiki teksi ke IPGM Kampus Rajang.
Setibanya di sana, kami disambut baik oleh Puan Corella yang merupakan Pensyarah Jabatan Pengajian Bahasa Iban. Kebanyakan pelajar ketika itu bercuti dan ada ambilan yang sedang menjalankan praktikum. Hal ini menyebabkan kawasan institut agak lengang memandangkan jumlah pelajar yang diberitahu adalah hanya kira-kira 500 orang. Selepas itu, kami ke kantin sekolah untuk bersarapan dan kawasan kafenya besar. Kemudian, kami ke bilik pelaksanaan bengkel. Kami menyusun atur kedudukan dan mempersiapkan tempat untuk acara bengkel seterusnya. Pada jam 8.30 pagi, bengkel bermula dengan kehadiran 15 orang peserta. Bengkel berjalan dengan baik dan pada hari tersebut para peserta berjaya menghasilkan artikel baharu dalam bahasa Iban lebih kurang 60 artikel yang mana satu pencapaian yang baik dengan jumlah peserta sebanyak 15 orang.

Nelynnnnn, CC BY 4.0


Dengan kerjasama dari semua pihak, program berakhir dengan baik. Tidak dapat dinafikan bahawa sambutan daripada pihak IPGM Rajang begitu mesra. Malah di akhir program mereka telah mempersembahkan beberapa tarian dan juga puisi kepada kami. Hal ini bukan sahaja memberi pengalaman yang dekat tetapi juga membantu dalam melihat perbezaan budaya dari segi gerak tari dan juga seninya yang tersirat. Lebih-lebih lagi, para fasilitator telah diajar asas gerak tari Tarian Ngajat yang mana amat seronok dan sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Selepas itu, pada jam 4.00 petang kami bergerak pulang untuk melanjutkan Wikitour 2.0 dengan aktiviti WikiMamanau di beberapa tempat bersejarah di Sarawak.

Nelynnnnn, CC BY 4.0

Jjurieee, CC BY-SA 4.0

Nelynnnnn, CC BY 4.0
Sebagai kesimpulannya, pelaksanaan bengkel di IPGM Kampus Rajang memberikan pengalaman yang cukup berharga dan pastinya memberi nilai tambah dalam kemahiran dasar para fasilitator untuk mengendalikan program bermula daripada kemahiran penyelesaian masalah sehinggalah pengurusan tempat dan pengendalian majlis yang mana amat berguna khususnya bagi tujuan meningkatkan keyakinan diri. Namun, apa yang lebih penting adalah para fasilitator Kelab Wikimedia Kent telah berjaya membantu kumpulan bahasa Ibunda seperti bahasa Iban untuk meninggalkan jejak digitalnya di platform Wikipedia. Di akhir kata, ribuan terima kasih diucapkan kepada semua yang memberi sokongan, dukungan dan juga bantuan dari pelbagai aspek kepada Wikitour 2.0 bagi tahun ini.
Ketahui lebih lanjut: WIKITOUR 2.0 IPGMK Rajang
Can you help us translate this article?
In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?
Start translation