Wikimedia Malaysia anjur WikiKata Bahasa Tamil yang pertama

Translate this post
Penulis menjadi sukarelawan WikiKata bahasa Tamil. Gambar oleh Geleparaplu, CC BY-SA 4.0

Pada 4 Jun 2025, Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia (Wikimedia Malaysia) telah menganjurkan WikiKata Bahasa Tamil buat julung kalinya, bertempat di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya.

Program ini merupakan hasil usahasama antara Wikimedia Malaysia dengan Dr Elanttamil Maruthai, pensyarah Bahasa Tamil di fakulti universiti tersebut. Seramai 25 orang pelajar fakulti telah menyertai program ini, termasuk tujuh orang sukarelawan Wikimedia Malaysia. Penulis turut berkesempatan mengambil peluang menjadi sukarelawan Wikimedia yang telah membimbing pelajar-pelajar universiti.

Dr Elanttamil Maruthai, pensyarah bahasa Tamil di Universiti Malaya yang turut memasukkan Wikipedia dalam modul pengajarannya. Gambar oleh Wiki Asmah, CC BY 4.0.

WikiKata Bahasa Tamil bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kamus dalam talian, Wikikamus serta memasukkan perkataan bahasa Tamil ke dalam laman web tersebut berdasarkan senarai perkataan yang telah diberikan. Para pelajar hanya perlu menerbitkan laman perkataan berdasarkan pilihan mereka, dengan bimbingan sukarelawan Wikimedia. Selain itu, mereka juga diberikan pendedahan bagaimana untuk menerbitkan rencana di Wikipedia Bahasa Tamil dengan menggunakan alat khusus iaitu terjemahan kandungan.

Hasilnya, 53 lema bahasa Tamil telah dicipta dalam Wikikamus. Masing-masing laman disertakan dengan kelas kata seperti kata nama dan kata sifat, maksud dalam bahasa Melayu dan contoh ayat dalam bahasa Tamil serta terjemahannya dalam bahasa Melayu. Daripada 53 laman baharu itu juga, sebanyak 14.8 ribu bait telah ditambah ke dalam kandungan Wikikamus.

Pada akhir program, setiap pelajar menerima cenderamata istimewa daripada pihak Wikimedia Malaysia. Sekeping pelekat yang mengandungi logo-logo projek dalam Wikimedia seperti Wikibuku, Wikipedia dan lain-lain dan lencana butang yang menampilkan logo Wikipedia dan teks “Wikipedia, ensiklopedia bebas” dalam bahasa Tamil diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap penglibatan aktif dan kerjasama padu daripada mereka untuk merealisasikan program yang bermakna ini.

Wikimedia Malaysia berharap dapat meneruskan acara sebegini khususnya dalam memperkenalkan gerakan Wikimedia kepada kumpulan masyarakat utama seperti masyarakat India di Malaysia.

Catatan: Rencana diolah dari penulisan asal penulis di Wikiberita Bahasa Melayu.

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?