Wikipedia Bahasa Iban secara rasminya telah berusia satu tahun sejak pelancarannya pada 14 Oktober 2024. Sehingga penulisan ini, Wikipedia versi bahasa Iban mengandungi sejumlah 1,940 artikel. Kebanyakan artikel di Wikipedia saya sunting, walaupun ada juga orang yang menyunting bersama saya tetapi tidak seaktif saya.
Dalam Pengeram Wikimedia
Sebelum pelancaran rasminya, wiki ini telah dicipta pada tahun 2010 dalam Inkubator Wikimedia dan kekal di sana selama 14 tahun. Saya mula mengedit halaman Wikipedia Iban dalam Pengeram Wikimedia pada tahun 2022. Saya belajar sendiri cara mengedit Wikipedia dalam Pengeram Wikimedia, termasuk cara meletakkan bahan rujukan dalam artikel Wikipedia dan meletakkan imej daripada Wikimedia Commons. Dengan bantuan daripada ahli dalam Kumpulan Komuniti Pengunna Wikimedia Malaysia, saya belajar cara meletakkan templat dan modul di laman wiki.
Daripada pengalaman saya menyunting dalam Pengeram Wikimedia, saya mengalami masalah teknikal, terutamanya semasa memasang templat dan modul. Mencari orang untuk menyunting Wikimedia secara konsisten juga merupakan pekara yang sukar, kerana saya mempunyai masa untuk menyunting di sana, tetapi orang lain tidak seaktif saya. Tetapi saya sangat berterima kasih kepada beberapa pengguna kerana aktif menyunting Wikipedia Bahasa Iban sehingga pelancaran rasminya.
Wikipedia Bahasa Iban
Kerja saya di Wikipedia adalah mencari artikel dalam bahasa Inggeris dan menterjemahkannya ke dalam bahasa Iban. Setiap hari, sekurang-kurangnya ada satu artikel untuk diterjemah, dan apabila saya rasa rajin, saya menterjemahkan banyak artikel sekaligus. Hasilnya, sebilangan besar artikel di Wikipedia Iban telah saya cipta. Walaupun terdapat penyunting lain, mereka tidak begitu aktif, jadi saya juga cuba memperkenalkan lebih ramai orang kepada Wikipedia Iban. Ramai orang masih tidak tahu bahawa Wikipedia sudah wujud dalam bahasa Iban, dan saya berharap dapat meningkatkan kesedaran dan menggalakkan lebih ramai penyumbang untuk menyertai.

Jjurieee, CC BY-SA 4.0

Jjurieee, CC BY-SA 4.0
WikiTour 2.0: Bengkel Wikipedia Bahasa Iban di IPG Rajang
Pada 30 Jun 2024, Kelab Wiki Kent telah menganjurkan bengkel di IPG Rajang sebagai sebahagian daripada program WikiTour 2.0. Tujuan program ini adalah untuk memperkenalkan Wikipedia Iban kepada 15 peserta yang sedang mempelajari bahasa Iban di IPG Rajang. Semasa bengkel tersebut, saya mengajar mereka cara menterjemah artikel daripada versi bahasa Wikipedia yang lain, seperti bahasa Melayu atau Inggeris, ke dalam Wikipedia Iban. Bengkel tersebut berjalan dengan sangat lancar, dan pada hari itu para peserta berjaya menghasilkan kira-kira 60 artikel baharu dalam bahasa Iban. Ini merupakan kali pertama saya mengajar dalam bengkel Wikipedia, dan ini merupakan pengalaman yang sangat berharga bagi saya. Melalui pengalaman ini, saya juga dapat memerhatikan masalah teknikal yang sering timbul apabila orang ramai mula-mula cuba menterjemah artikel ke dalam Wikipedia.
Sambutan ulang tahun pertama Wikipedia Bahasa Iban

Farouk Azim, CC BY 4.0

Farouk Azim, CC BY 4.0

Farouk Azim, CC BY 4.0
Pada 10 Oktober 2024, sambutan ulang tahun awal pertama Wikipedia Bahasa Iban telah diadakan di SMK Bukit Assek, Sibu. Acara ini berlangsung semasa Bengkel Wikikamus Bahasa Melayu dan Wikipedia Bahasa Iban. Dalam bengkel ini, para peserta diajar cara menterjemah artikel daripada versi Wikipedia bahasa lain ke dalam Wikipedia Iban, serta cara menambah lema pada Wikikamus Bahasa Melayu. Sebelum sesi penyuntingan bermula, kami menyanyikan lagu hari jadi dan memotong tiga kek hari jadi untuk meraikan Wikipedia Iban. Semasa bengkel tersebut, 268 lema telah ditambah ke dalam Wikikamus Bahasa Melayu dan 30 artikel baharu telah dicipta di Wikipedia Iban. Saya sangat gembira kerana telah mengembangkan Wikipedia Iban selama lebih setahun, dan acara ini amat bermakna bagi saya. Bengkel ini juga dilaporkan oleh agensi berita tempatan Sarawak seperti TVS.
Matlamat untuk Wikipedia Bahasa Iban
Pada tahun-tahun hadapan, saya berharap lebih ramai orang akan mengetahui Wikipedia Iban, dan lebih ramai penyunting aktif akan menyumbang selain saya. Saya juga berharap Wikipedia Iban akan terus berkembang dengan artikel daripada pelbagai bidang seperti sains, teknologi, hiburan, sukan, dan banyak lagi, supaya pengetahuan ini dapat disebarkan dalam bahasa Iban. Ini akan membantu mengembangkan bahasa Iban bukan sahaja sebagai bahasa yang digunakan dalam kehidupan seharian (oleh penutur Iban dan bukan Iban), tetapi juga sebagai bahasa ilmu, yang diangkat ke tahap yang sama seperti bahasa-bahasa utama dunia yang lain.
Can you help us translate this article?
In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?
Start translation