
Apa yang dunia perlukan daripada kita sekarang?
Internet berada di titik perubahan besar. Trend global yang telah dipantau oleh Wikimedia Foundation dan para sukarelawan selama beberapa tahun kebelakangan ini bukan lagi sesuatu yang jauh atau sekadar teori, ia kini sedang memberi impak kepada Wikipedia dan projek-projek Wikimedia. Wikipedia menyaksikan penurunan dalam paparan halaman dan rujukan trafik daripada Google, serta peningkatan trafik bot yang luar biasa. Kami percaya ini bukan fenomena sementara tetapi satu peralihan struktur kekal. Dunia memerlukan Yayasan dan gerakan Wikimedia untuk berkembang dan menyesuaikan diri.
Misi Wikimedia kekal mendesak.Dalam era perkembangan maklumat palsu dan kandungan AI yang tidak boleh dipercayai, Wikipedia terus menjadi tulang belakang pengetahuan yang boleh dipercayai di seluruh web iaitu sebagai sebuah “jaringan fakta yang menyatukan keseluruhan dunia digital.” [sumber] Sungguhpun kandungan yang dihasilkan oleh sukarelawan kekal penting kepada dunia, kebolehlihatannya semakin berkurangan oleh kerana orang ramai kini mendapatkan maklumat melalui ringkasan AI, chatbot dan pelbagai bentuk penggunaan semula oleh pihak ketiga.
Ini menimbulkan persoalan kritikal bagi gerakan Wikimedia:
- Trafik:Bagaimana kita harus bertindak balas terhadap penurunan paparan halaman, pengurangan keterlihatan dan perubahan struktur yang menjauhi trafik rujukan carian?
- Penggunaan Semula yang Bertanggungjawab: Apakah rupa penggunaan semula kandungan Wikimedia yang mampan dan bagaimana kita melindungi infrastruktur kita daripada penyalahgunaan?
- Unsur kemanusiaan: Apakah nilai unik Wikipedia dalam dunia yang dipenuhi kandungan janaan AI dan pengalaman “sifar klik”? Bagaimana kita boleh menggandakan lagi kekuatan unik komuniti global kita?
- Melindungi model kita: Bagaimana kita boleh melindungi model penyumbang sukarela dan model pendapatan Wikipedia?
- Kemampanan jangka panjang: Bagaimana kita akan membantu Wikipedia dan projek-projek lain berkembang maju selama 25 tahun akan datang dan selama-lamanya?
Berkembang Maju Di Wiki dan Di luar Wiki
Kami percaya masa depan Wikipedia bergantung kepada dua perkara yang berjalan seiring: berkembang maju di wiki (on wiki) dan di luar wiki (beyond wiki). Ini bermakna melabur dalam pengalaman destinasi yang lebih kukuh di laman web dan aplikasi kami yang diminati serta dikunjungi semula oleh pembaca, penyumbang dan penderma. Ini termasuk model penggunaan semula yang mampan yang menjangkau pengguna walau di mana mereka berada dan menghantar nilai serta penyumbang baharu kembali ke Wikipedia, bukan sekadar mengalihkan trafik. Untuk terus berkembang dan kekal relevan dalam landskap baharu ini, kita perlu Wikipedia maju dengan kukuh di wiki mahupun di luar wiki.

Matlamat Yayasan 2026-27
Bagaimana kami akan melaksanakannya? Kami akan melaksanakannya dengan memberi tumpuan kepada empat matlamat utama pada 2026-27:
- Memperluas jangkauan kami. Pelbagaikan trafik melangkaui carian tradisional. Hampir 90% pengunjung Wikipedia selama ini tiba melalui carian Google. Aliran trafik “percuma” itu kini mengalami kemerosotan berstruktur iaitu satu perubahan yang turut memberi kesan kepada penerbit di seluruh Internet, bukan Wikipedia sahaja. Ini bermakna kita perlu menumbuhkan bentuk-bentuk trafik langsung yang baharu (contohnya, sumber rujukan baharu dan muat turun aplikasi mudah alih) serta mempelbagaikan sumber trafik kita supaya kita tidak terlalu bergantung kepada satu sumber sahaja. Orang ramai mungkin tidak lagi menemui kandungan Wikimedia seperti dahulu secara tidak sengaja, lalu ini akan menjejaskan keterlihatan keseluruhan kandungan tersebut dan seterusnya pendapatan serta motivasi penyunting. Ini memerlukan pelaburan dalam cara-cara baharu (yang sering kali lebih mencabar dan mahal) bagi menjangkau pembaca, penyunting dan penyumbang masa hadapan.
- Memperkukuh penglibatan. Sokong penyumbang kita dan ubah pembaca biasa menjadi pembaca, penyunting dan penderma tetap. Ramai pengguna Wikipedia hanya singgah sebentar, mencari satu fakta, lalu pergi. Kita perlu menjadikan pengalaman pembaca lebih menarik supaya pembaca biasa kembali semula, menjadi pembaca aktif dan seterusnya membesar menjadi penyunting serta penderma dalam jumlah yang lebih ramai. Dalam dunia apabila setiap kunjungan semakin bermakna, kami akan memberi tumpuan kepada corong audiens (lihat di bawah) yang membawa orang ramai daripada kandungan “luar wiki” kembali ke pengalaman “dalam wiki”, mengubah pembaca biasa menjadi pembaca aktif dan mengubah pembaca aktif menjadi peserta, penderma serta generasi baharu pemimpin komuniti.
- Lindungi projek-projek kita: Kekalkan dan pertahankan model kita. Para sukarelawan dan nilai-nilai Wikipedia semakin berada di bawah ancaman. Kami akan memberikan sukarelawan sokongan keselamatan dan undang-undang yang mereka perlukan, serta mempertahankan sudut pandang neutral dalam dunia apabila fakta semakin dipertikaikan dan dipolitikkan. Kami akan memperkukuh perlindungan infrastruktur Wikimedia daripada penyalahgunaan bot dan menekankan penggunaan semula yang bertanggungjawab demi mengalirkan nilai kembali ke Wikipedia, bukan sekadar mengalihkan trafik.
Matlamat-matlamat ini disokong oleh matlamat keempat:
- Bina kelajuan dan daya tahan: Sokong orang-orang dan sistem-sistem di sebalik usaha ini. Pacu kelajuan dan kecekapan yang lebih tinggi merentasi kakitangan, sistem dan infrastruktur teknikal Yayasan. Matlamat ini merangkumi kerja yang akan kami lakukan bagi menjana sokongan kewangan yang diperlukan untuk memenuhi misi kami termasuk terus menumbuhkan aliran pendapatan yang pelbagai seperti Wikimedia Enterprise dan Wikimedia Endowment bagi melindungi kemampanan projek-projek Wikimedia pada masa hadapan.
Mengapa menggunakan pendekatan ini?
Perubahan dalam trafik dan penggunaan semula kandungan bermakna pembaca, penderma dan penyumbang masa hadapan akan datang kepada Wikipedia dengan cara yang berbeza daripada sebelumnya. Hala tuju strategik gerakan Wikimedia 2017 iaitu untuk berkhidmat sebagai “infrastruktur penting ekosistem ilmu pengetahuan bebas” telah sebahagian besarnya dicapai. Namun, menjadi “infrastruktur penting” semata-mata mungkin tidak mencukupi untuk menjamin masa depan ilmu pengetahuan bebas. Persoalannya kini ialah bagaimana untuk memainkan peranan tersebut dengan cara yang melindungi model penyumbang Wikipedia, nilai-nilai teras dan kemampanan kewangan. Sambil terus dipandu oleh cadangan Strategi Gerakan 2030, menyahut trend global yang kini dihadapi oleh gerakan kita memerlukan kami bersandar kuat pada cadangan untuk “menilai, mengulang dan menyesuaikan diri.”
Projek Wikimedia kita yang paling ketara dan paling kerap digunakan semula ialah Wikipedia. Untuk tahun mendatang, kami akan membina di atas peranan asas Wikipedia dalam ekosistem maklumat bagi memacu trafik dan keterlihatan kepada kandungan Wikimedia. Ini merangkumi usaha untuk meningkatkan trafik ke Wikipedia, memperkukuh sokongan kepada penyumbang, serta membekalkan Pengguna dengan Hak Lanjutan dengan peralatan dan sokongan yang lebih baik dalam menghadapi cabaran yang semakin meningkat. Dengan turut melabur “di luar wiki” bagi menyalurkan pembaca, penyumbang dan penderma baharu kembali ke Wikipedia, kita dapat membantu memastikan projek-projek Wikimedia kekal mampan dari segi kewangan, dipercayai oleh masyarakat, relevan secara awam dan bebas secara struktur.
Daripada pembaca kepada penyumbang dan penderma: corong audiens
Untuk menukar pembaca biasa menjadi pembaca aktif, penyumbang dan penderma pada kadar yang lebih tinggi, kami akan memberi tumpuan kepada menggerakkan orang ramai melalui corong audiens yang menggunakan eksperimen bersasar, penambahbaikan pengalaman pengguna dan metrik pada setiap langkah bagi mengubah pengguna pasif menjadi peserta aktif.
Skala peluang ini amat besar. Kami menganggarkan kira-kira 5 bilion pengguna Internet sudah pun menggunakan kandungan Wikipedia dalam sesuatu bentuk, sama ada di laman kami atau melalui penggunaan semula oleh pihak ketiga. Daripada jumlah itu, 3.3 bilion mengetahui kewujudan Wikipedia. Dan kira-kira 1.5 bilion, lebih kurang 27% daripada semua pengguna internet membaca kandungan Wikipedia dalam wiki setiap bulan.

| “Di luar Wiki” Semua pengguna internet: lebih kurang 5.5 bilion Menggunakan kandungan Wikipedia yang diguna semula: lebih kurang 5.0 bilion Mengetahui Wikipedia: lebih kurang 3.3 bilion | “Dalam Wiki” Pembaca: lebih kurang 1.5 bilion (27% pengguna internet) Penderma: lebih kurang 7.7 juta (0.51% daripada pembaca) Penyunting: lebih kurang 273,000 (0.02% daripada pembaca) |
Ini memberikan Wikipedia satu aset strategik besar dalam membantu kita untuk mengharungi detik peralihan ini. Tetapi kita perlu memanfaatkan kekuatan ini sekarang, selagi jangkauan dan kesedaran jenama kita masih kukuh. Penurunan trafik yang kita alami pada masa ini bermakna kita perlu meningkatkan jumlah di bahagian atas corong iaitu penggunaan semula kandungan Wikimedia secara keseluruhan dan kesedaran terhadap Wikipedia, serta meningkatkan kadar penukaran pembaca kepada pembaca tetap, penyunting yang kekal dan penderma di bahagian bawah corong. Tahun ini, kami akan terus menumpukan perhatian pada pengukuran corong audiens kami bagi memastikan kami bereksperimen dan melakukan penambahbaikan berterusan dengan cara yang tepat untuk mencapai matlamat-matlamat ini.
Menjadikan penyuntingan lebih mudah dan cekap
Komuniti penyunting yang sihat dan berkembang adalah penting bagi masa depan Wikipedia. Justeru itu, kami akan melabur dalam sistem papan pemuka yang diperibadikan bagi membantu pembaca menjadi penyunting, serta menyokong penyunting baharu dalam perjalanan mereka menuju peranan penyunting dan moderator yang lebih berpengalaman. Papan pemuka ini dapat membantu penyunting pemula berkembang ke peringkat yang lebih maju serta membantu menonjolkan kepada sukarelawan yang lebih berpengalaman perkara-perkara yang mungkin memerlukan perhatian seperti perbincangan aktif atau kemungkinan vandalisme dalam rencana yang mereka ambil berat. Matlamat yang lebih jelas, metrik impak dan hubungan antara penyumbang juga dapat membantu memperdalam motivasi, pengekalan penyunting serta penglibatan jangka panjang.
Kami juga akan membangunkan cara-cara baharu bagi penyunting untuk melihat bila dan bagaimana pembaca berinteraksi dengan kandungan kita. Ini mungkin termasuk pemaparan data terkumpul tentang seberapa kerap halaman dipautkan di laman web lain seperti Google atau TikTok. Matlamatnya adalah untuk membolehkan penyunting mengutamakan kerja penyuntingan mereka berdasarkan maklumat tentang pengetahuan yang paling banyak dicari oleh masyarakat. (Sebagai contoh, jika istilah carian yang lazim membawa kepada rencana yang salah, penyunting boleh mencipta lencongan atau mengembangkan kandungan untuk lebih memenuhi keperluan pembaca.)
Selaras dengan saranan daripada Majlis Penasihat Produk dan Teknologi (PTAC) kami, kami akan terus menumpukan usaha untuk menjadikan penyuntingan melalui telefon bimbit lebih mudah. Contohnya, “penyuntingan berstruktur” dapat membantu memecahkan penyuntingan melalui telefon bimbit kepada tugas-tugas kecil yang berpandukan langkah demi langkah. Bagi Pengguna dengan Hak Lanjutan (UWER), automasi yang lebih bijak (seperti cadangan penyiasatan terhadap aktiviti mencurigakan) dapat membantu mengurangkan kerja pengurusan berulang yang sering dikaitkan dengan kemasukan pengguna baharu dalam jumlah yang besar, seterusnya membebaskan UWER untuk menumpukan perhatian pada tugas yang lebih memberi impak. Kami juga akan membantu melindungi akaun pengguna dengan keselamatan yang diperkukuhkan.

Ekosistem pengetahuan yang hidup
Seperti yang telah diperhatikan oleh ahli-ahli Wikimedia yang lain, Wikipedia dan projek-projek kita ini boleh diibaratkan seperti ekosistem hidup yang sentiasa berkembang dan menyesuaikan diri dari semasa ke semasa. Selama dua dekad yang lalu, Wikipedia telah disokong oleh “air terjun” rujukan trafik carian percuma dari Google yang berlaku secara tidak dirancang memberikan aliran pembaca, penderma dan penyumbang yang berterusan. Kini, air terjun itu sedang berubah arah dan berkemungkinan semakin surut. Dan seperti yang telah lama diperhatikan oleh sukarelawan Wikipedia (1, 2), tunjang utama komuniti ini iaitu Penyelia dan Pengguna dengan Hak Lanjutan yang paling aktif tidak bertambah pada kadar yang diperlukan untuk Wikipedia terus berkembang maju bagi generasi akan datang.
Apabila sistem tumbuhan hidup mengalami tekanan air, ia biasanya melakukan dua perkara:
- Mencari sumber air baharu. Justeru itulah penekanan kami terhadap kepelbagaian trafik, iaitu untuk menjangkau melampaui aliran tradisional rujukan carian Google.
- Menumbuhkan akar yang lebih dalam. Justeru itulah penekanan kami terhadap mengukuhkan penglibatan iaitu menukar pembaca biasa menjadi pembaca berulang, dan pembaca tetap menjadi penyunting serta penderma.
Jika pelan tahunan 2026-27 mempunyai simbol, ia adalah pokok Boscia albitrunca, tumbuhan yang terkenal dengan struktur akar terdalam yang pernah diketahui di bumi, mencapai kedalaman sehingga 68 meter atau 230 kaki. Pokok ini tidak mengejar air yang cetek. Ia menghunjam jauh ke dalam bumi. Dengan berbuat demikian, ia hidup subur dalam salah satu persekitaran paling keras di dunia, iaitu Gurun Kalahari.
Kami percaya Wikipedia sedang menghadapi saat tekanan persekitaran yang serupa dan memerlukan penyesuaian yang sama. Ia mesti menumbuhkan akar yang lebih dalam, mengubah pembaca biasa menjadi pembaca aktif, penyunting dan penderma yang kekal serta semakin mendalami penglibatan mereka dari masa ke masa. Dan untuk berbuat sedemikian, ia memerlukan pembaharuan model yang telah membentuk Wikipedia, seperti pokok Boscia albitrunca sebagai sumber kekuatan dan inspirasi dalam landskap dalam talian yang semakin mencabar.
Can you help us translate this article?
In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?
Start translation