Pada 8 April 2026, rakan-rakan Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia telah menghadiri acara Standing with Ukraine 2026 yang bertempat di City University Malaysia, institusi pendidikan swasta di Cyberjaya, kawasan perbandaran terancang di Daerah Sepang, Selangor, Malaysia.
Dianjurkan oleh City Univeristy Malaysia sebagai tuan rumah, acara Standing with Ukraine 2026 turut direalisasikan melalui kerjasama padu antara Kedutaan Ukraine Malaysia, Kedutaan Austria Malaysia dan Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia. Acara ini merangkumi perasmian pameran-pameran iaitu Puzzle of Unity dan Design in Wartime, dan Bengkel Menghias Corak Lilin Telur Paskah Ukraine (Ukrainian Easter Candle Decoration Workshop) oleh Puan Yuliia Nadolenko.
Acara dimulakan dengan ucapan ringkas daripada para diplomat Kedutaan masing-masing. Y.E. Rafael Daerr selaku wakil Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Encik Roland Rudorfer selaku wakil Kedutaan Austria Malaysia dan Y.E. Dr. Hennadii Nadolenko selaku wakil Kedutaan Ukraine Malaysia memberikan ucapan masing-masing dengan petahnya, dalam bahasa Inggeris.

Selepas ucapan para diplomat tamat, pihak City University Malaysia berbesar hati memberikan peluang dan ruang kepada Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia untuk mempromosikan bengkel penyuntingan Wikipedia sempena Bulan Diplomasi Kebudayaan Ukraine 2026 yang bakal dianjurkan di univerisiti berkenaan pada 23 April 2026. Dody Ismoyo selaku Pengasas Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia telah mengajak para pelajar dan staf sokongan untuk menyertai bengkel ini, dan secara tidak langsung ia merupakan salah satu usaha menyempurnakan kebudayaan Ukraine melalui penulisan dalam talian menerusi platform ensiklopedia percuma, Wikipedia.
“Ayuh! Sertai kami, pada 23 April ini di City University Malaysia bersama-sama menyertai acara marasunting Wikipedia sempena Bulan Diplomasi Kebudayaan Ukraine 2026 yang diraikan,” kata Dody Ismoyo kepada semua orang sambil memegang poster mengenai acara yang dimaksudkan oleh beliau.
Bulan Diplomasi Kebudayaan Ukraine ialah kempen yang menggalakkan para penyunting dari segenap dunia untuk menghasilkan rencana penulisan yang berkaitan dengan Ukraine secara dalam talian. Buat julung kali, acara marasunting sempena kempen ini telah dianjurkan di Univerisiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 2023, melalui kerjasama antara Kedutaan Ukraine di Malaysia.
Acara diteruskan dengan perasmian pameran Puzzle of Unity dan Design in Wartime. Banyak hasil karya seni pelajar-pelajr daripada univerisiti Ukraine yang dibentang dan dipamerkan kepada pelajar, termasuk kami. Ia menjadi tatapan dan secara tidak langsung, dapat menelusuri makna yang tersirat di sebalik karya yang dihasilkan dengan penuh kegigihan dan kecelakan.
Bagi penulis, karya seni yang paling menarik ialah “Marks of War” yang dihasilkan oleh lima orang pelajar dari Lviv Polytechnic National University. Sebuah video yang menyingkap betapa teruk dan musnah sebuah peradaban akibat peperangan, tetapi betapa berharga dan abadinya sesebuah karya seni dalam mengharungi keganasan. Walaupun hanya paparan maklumat dibentang dengan deskripsi, alur cerita kasar, dan beberapa tangkapan layar video, penulis dapat merasakan seolah-olah wujud satu pertalian yang sangat dekat yang memberikan impak mendalam terhadap penulis.
Selepas tamat kami menatap satu per satu pameran, kami telah diarahkan ke dewan untuk meneruskan temasya seterusnya iaitu Bengkel Menghias Corak Lilin Telur Paskah Ukraine (Ukrainian Easter Candle Decoration Workshop). Lampu dipadamkan dan projektor dibuka dan dilaraskan memancarkan sinar cahaya untuk mempamerkan video pendek mengenai sejarah telur paskah Ukraine. Dua orang pembentang di hadapan kami sedang giat berkongsi mengenai makna disebalik corak, warna dan ukiran yang dijalinkan pada telur paskah.

Telur paskah dianggap sebagai simbol kesakralan bagi masyarakat Ukraine melalui ukiran matahari yang terjalin. Lebih dikenali sebagai pysanka, budaya ini berasal semasa zaman pra-Kristian sebagai satu upacara untuk meyambut kelahiran semula alam semula jadi dan ketibaan musim panas.
Kami telah dibekalkan dengan dua butir telur berwarna putih dan berlainan saiz yang terbuat daripada lilin. Telur-telur ini mempunyai tekstur yang menonjol ke luar sebagai corak, dan mempunyai bau vanila dan strawberi yang harum. Telur yang bersaiz kecil mempunyai corak tumbuh-tumbuhan, manakala telur yang bersaiz besar mempunyai corak kepingan salji. Seterusnya, cat air pekat dan berus diberikan untuk mengecat corak-corak telur paskah. Tidak kurang juga, satu cawan air diberikan yang digunakan dalam proses melembapkan dan membasuh berus selepas digunakan atau sekadar mencairkan cat.
“Kami menggunakan esen vanila dan strawberi dalam menghasilkan lilin ini,” ujar salah seorang pemudah cara bengkel dengan menggunakan bahasa Inggeris.
Berus dicapai, dan kerja mengecat dimulakan. Ia bukan sesuatu perkara yang mudah bagi penulis, sejujurnya. Kerja mengecat tekstur telur yang mempunyai saiz kecil dan halus ini menuntut kesabaran dan ketelitian sangat tinggi. Tidak terkira jumlahnya, tangan penulis menggeletar dek tidak berupaya mengawal tangan dengan baik sehingga tidak sengaja mencomotkan corak pada telur paskah sendiri. Cat yang terpalit tersasar daripada kawasan yang sepatutnya. Walaupun begitu, sememangnya setiap kejayaan menutut pengorbanan; penulis tetap meneruskan usaha menyempurnakan kerja menghias telur paskah dengan penuh teliti. Biar lambat asal selamat.

Sejam berlalu, penulis berjaya menyempurnakan kerja mengecat corak pada telur paskah sendiri. Ia tidak sempurna dan tidak indah seperti corak telur paskah yang dihasilkan oleh peserta yang lain, namun tetaplah berbangga dengan hasil air tangan sendiri. Warna biru, merah dan hijau menyepadukan makna-makna disebalik corak yang tersirat. Langit yang kebiru-biruan melambangkan kesucian dan kemurnian. Warna hijau daripada hutan malar yang membentang luas sebagai harapan dan penganugerahan kesihatan fizikal sempurna. Calitan merah pada setiap tumbuhan melambangkan semangat jumantara dan kebangkitan semula harapan insan.

Melalui acara ini, penulis dapat merasakan pengalaman baharu untuk menerokai budaya negara luar. Kegigihan yang dipelajari sedikit sebanyak mematangkan pandangan terhadap dunia. Terima kasih Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia kerana memberikan pengamalan bermakna untuk penulis!
Tidak menjadi katak di bawah tempurung lagi, sememangnya Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimdia Malaysia giat melaksanakan bengkel-bengkel yang berkaitan dengan projek Yayasan Wikimedia seperti Wikipedia, dalam usaha memartabatkan pengetahuan dalam talian mengenai sejarah dan budaya. Secara tidak langsung turut mewakili dalam acara begini sebagai satu langkah cerdas untuk menarik lebih orang ramai berkongsi pengetahuan secara percuma menerusi Wikipedia.
Can you help us translate this article?
In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?
Start translation