Pada 2 Mei 2026, Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia telah menganjurkan satu sidang bengkel Wikikamus di Kampung Lingkudau, sebuah perkampungan kecil di lembah Gunung Kinabalu, dalam Daerah Ranau, Bahagian Pantai Barat, negeri Sabah, Malaysia. Bengkel Wikikamus ini turut menerima gandingan kerjasama daripada pihak Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah.

Bertempat di Pusat Pendidikan Etnik Ranau (Ranau Ethnic Education Centre), saya dan dua orang wakil daripada Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia telah dikerahkan menjadi pemudah cara secara sukarela untuk merealisasikan program ini.
Merentas samudera dan menyongsong awan: Ranau–Kuala Lumpur.
Saya dan Wiki Asmah, yang akrab dikenali sebagai Asmah telah berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk mendarat di Negeri Dibawah Bayu ini. Kami bertolak dari Balai Wikimedia Malaysia seawal mungkin supaya tidak terlepas pesawat.
Lagi pula, pada hari berkenaan, sejarah baharu ditempa dalam diari kehidupan saya. Buat julung kalinya, saya menaiki pesawat kelas ekonomi! Dengan pembiayaan yang ditaja oleh Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia, saya dapat merasakan pengalaman yang sungguh tidak ternilai.

Setibanya di Kota Kinabalu, kami disambut oleh Taufik Rosman, iaitu seorang Wikimediawan asal Sabah yang telah merangkul anugerah Wikimediawan Tahunan pada tahun 2023 di Singapura. Selepas mendapatkan kereta sewa, kami bertiga bertolak ke Pekan Ranau, melewati lembah-lembah Kinabalu di sepanjang Jalan Ranau, dipagut bayu-bayu dingin yang menyelimuti tubuh di Kundasang — melakar satu pengalaman baharu.
Bengkel Wikikamus Bahasa Dusun Bundu kini bermula!
Kami tiba di Pusat Pendidikan Etnik Ranau dekat Kampung Lingkudau, tidak jauh daripada kediaman sementara kami dekat Pekan Ranau. Kami disambut oleh Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah, yang mana beliau merupakan pengerusi kepada Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah. Beliau menjemput kami untuk merasai pelbagai kuih-muih tempatan yang hanya dapat ditemui di negeri Sabah, seperti kuih jagung, lepat pisang, dan apam nasi kukus.
Bagi saya, kuih yang paling unik ialah kuih jagung. Hal ini dikatakan demikian kerana kuih jagung dibuat dengan isi-isi jagung yang telah dipisahkan daripada batangnya, dikukus air dan dimampatkan ke dalam tabung buluh yang bersaiz kecil sebelum dihidangkan. Rasa kuih jagung ialah manis, kadang-kadang rasanya hambar, dan ia sesuai dimakan oleh golongan orang-orang yang kurang mengamalkan makanan yang manis.
Bengkel Wikikamus bermula pada jam 9.00 pagi waktu tempatan. Bengkel ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah selaku pengerusi kepada Persatuan Kebudayaan Dusun Bundu Sabah, dan seterusnya merasmikan program tersebut. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa penganjuran bengkel ini merupakan salah satu cara untuk memelihara bahasa dengan pendigitalan perbendaharaan kata bahasa Dusun melalui laman web Wikikamus. Selain itu, variasi dialek bahasa Dusun di Sabah terlalu luas, sebagai contoh di Daerah Ranau ini, terdapat dialek Dusun Bundu, Dusun Liwan, dan Dusun Talantang.

Ia merupakan cara mengangkat kebudayaan orang Dusun ke peringkat antarabangsa. Melalui penganjuran bengkel ini, kita dapat memasukkan perkataan-perkataan bahasa Dusun ke dalam Internet [iaitu melalui Wikikamus], dan secara tidak langsung dapat memelihara bahasa tersebut daripada pupus,” ulas Dr Linah Bagu @ Siti Nurlina Abdullah ketika ucapan perasmian Bengkel Wikikamus Bahasa Dusun Bundu, dekat sini.
Taufik juga memberikan sedikit ucapan, dan taklimat mengenai bengkel berkenaan. Katanya, “Siapa lagi kalau bukan kita untuk mengangkat bahasa kita di Internet? Sekiranya kalian tahu sesungguhnya bahawa Wikipedia bahasa-bahasa Indonesia seperti bahasa Jawa, Sunda dan lain-lain diwujudkan kerana terdapat kewujudan entri perkataan-perkataan dalam bahasa berkenaan di Internet. Begitu juga dengan perkhidmatan Google Translate yang mana menyediakan penterjemahan ke bahasa berkenaan. Kalau kita rajin untuk memartabatkan bahasa ini ke dalam Internet, mungkin suatu hari akan diterbitkan satu alatan penterjemahan dari satu bahasa ke bahasa Dusun, begitu juga sebaliknya.”

Sesudah ucapan oleh kedua-dua pihak, sidang bengkel Wikikamus ini bermula. Semua orang berasa sangat teruja dan seronok. Masing-masing tidak sabar untuk menempa pengalaman baharu, dalam mengubah sejarah dunia.
Para peserta yang terdiri daripada penggiat bahasa, guru sekolah, pelajar, dan ibu bapa dalam komuniti Dusun Bundu menunjukkan komitmen padu dalam merealisasikan program ini. Ia melibatkan penyertaan 25 orang peserta, tidak termasuk tiga perwakilan daripada Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia. Sesungguhnya, mereka memberikan kerjasama yang baik apabila kami membimbing mereka dengan penuh hemat.
Cabaran semasa bengkel: antara mikambai dan minturundok.
Cabaran yang saya hadapi semasa saya menjadi pemudah cara di sini ialah jurang bahasa yang ketara. Terdapat beberapa peserta yang tidak mengetahui secara jelas mengenai padanan terjemahan bahasa Dusun yang sesuai dalam bahasa Melayu yang piawai. Sebagai contoh, perkataan mikambai daripada dialek Liwan. Perkataan bahasa Dusun yang merujuk kepada “perbuatan bergandingan bahu atau berbahu-bahu antara tiga orang” mendapat perhatian daripada kami, sehingga perbincangan hangat dalam kalangan peserta antara satu sama lain dilakukan bagi mendapatkan kata sepakat mengenai maksud perkataan berkenaan.

Selain itu, banyak perkataan yang tidak dapat digambarkan atau didirikan dengan satu perkataan sahaja. Sebagai contoh, perkataan minturundok daripada dialek Liwan merujuk kepada “tindakan melompat-lompat secara berterusan seperti gerakan katak”.
Hasil kerjasama padu dikemukakan!
Sasaran awal untuk memasukkan lema-lema iaitu perkataan bahasa Dusun ke dalam Wikikamus Bahasa Melayu adalah sebanyak 500 buah. Tetapi, seperti bulan jatuh ke riba, para peserta berjaya memasukkan lema melebihi sasaran awal yang ditetapkan— berjaya mencipta 777 buah lema bahasa Dusun baharu! Ia pencapaian yang sangat menakjubkan! Lawati laman Outreach Dashboard untuk melihat perangkaannya (data yang diperoleh mungkin sedikit kerana beberapa pengguna tidak mendaftar secara maya).
Bukan itu sahaja, pihak Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia turut mendedahkan platform Lingua Libre, iaitu satu platform yang membolehkan suara penyebutan perkataan bahasa Dusun mereka dirakam dan direkodkan secara dalam talian melalui pangkalan media Wikimedia Commons. Hasilnya, lebih 200 audio yang merekodkan cara penyebutan perkataan bahasa Dusun bagi dialek Daerah Ranau berjaya dirakamkan. Salah satu perkataan bahasa Dusun yang direkodkan untuk Lingua Libre ialah tolinga (yang membawa maksud telinga dalam bahasa Melayu piawai).
Memaknai kehidupan dengan kejadian luar jangka!
Apabila kami sedang menikmati nasi ayam bersama tuhau sebagai makan tengah hari, di tempat yang sama — kami dikejutkan dengan kejadian luar jangkaan. Ular telah menyusup masuk ke dalam bangunan ini, dengan melalui pintu belakang. Kejadian ini disedari oleh salah seorang peserta yang sedang dalam perjalanan ke tandas, tetapi terbatal sebaik sahaja melihat gerakan ular kecil yang meliuk-liuk seakan-akan sedang memburu mangsa. Satu teriakan keras jelas memenuhi segenap ruangan, beberapa orang berpusu-pusu bergerak mencari sumber suara itu.

Panggilan kecemasan kebangsaan 999 telah didail. Van kecil berwarna merah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi. Dua orang penyelamat berseragam celoreng jingga bergerak pantas menyusup masuk ke dalam bangunan mencari-cari si ular kecil itu. Bilik dan tandas digeledah dengan teliti. Batang besi digenggam erat. Batang besi digunakan untuk mengalihkan barangan-barangan.

Setelah beberapa minit, pasukan bomba memaklumkan bahawa ular tersebut telah meloloskan diri dan tidak lagi berada dalam bangunan. Semua peserta menghela nafas lega, dan menyambung semula makan tengah hari yang tertangguh. Kejadian unik ini telah mencipta deduksi yang merumuskan segalanya.
Deduksi yang merumuskan segalanya.

Sesungguhnya, saya berasa gembira. Saya berasa gembira dapat menjadi sebahagian daripada sukarelawan yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa secara dalam talian, melalui penglibatan dalam Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia. Saya berasa gembira dapat berjumpa dengan orang-orang baharu di Sabah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Terima kasih Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia kerana memberikan pengalaman ini, dan semoga dapat menjayakan program sebegini pada masa hadapan.
Can you help us translate this article?
In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?
Start translation