Dari Sabah ke Paris: Jejak Mahasiswa Kadazandusun di Wikimania Paris 2026

Translate this post

Wikimania 2026 yang berlangsung di Paris, Perancis merupakan satu pengalaman yang amat bermakna bagi saya sebagai mahasiswa dari Sabah dan ahli komuniti Wikimedia. Penyertaan ini bukan sahaja membuka peluang untuk mempelajari perkembangan terkini dalam gerakan Wikimedia global, malah memberi ruang untuk bertemu sukarelawan, penyelidik, pendidik dan penggerak pengetahuan bebas dari seluruh dunia. Menurut ceritanya, pada mulanya nama saya tidak tersenarai dalam Wikimania ini namun disebabkan kemungkinan terdapat kekosongan, saya sangat beruntung kali ini kerana saya telah dijemput untuk menghadiri Wikimania Paris 2026. Seandainya ini adalah satu kebetulan, saya tetap ingin bersyukur dengan kebetulan tersebut kerana dengannya saya dapat bertemu dengan ramai orang hebat dan pembebas pengetahuan yang dari mereka saya belajar bahawa masih banyak perkara yang harus saya kuasai untuk dapat memberikan sumbangan kepada komuniti setempat saya.

Pada 19 Julai, saya memulakan perjalanan dari Sabah menuju ke Paris. Setelah menempuh penerbangan yang panjang kira-kira 13 jam, akhirnya saya tiba di Paris, sebuah bandar yang kaya dan pada saya memiliki estetika yang tinggi. Saya terpana dengan keindahan bangunannya sepanjang jalan yang kelihatan elegan dan seperti dalam filem-filem yang saya tonton. Berada di tanah ini memberikan saya perasaan seperti sedang mewujudkan impian dalam hidup saya. Dan sudah tentu semuanya berkat nama yang terpilih dalam perjumpaan besar-besaran ini. Secara ringkasnya, ketibaan di Paris memberikan perasaan teruja kerana buat pertama kalinya dapat menyertai acara Wikimedia terbesar di dunia.

Hari pertama dimulakan dengan proses pendaftaran peserta. Pada hari tersebut, saya berpeluang bertemu peserta dari pelbagai negara dan latar belakang. Walaupun berasal daripada komuniti yang berbeza, kami berkongsi matlamat yang sama, iaitu memperkasa pengetahuan bebas dan memastikan akses kepada maklumat yang berkualiti untuk semua. Saya merasa sangat terpegun dengan semangat komuniti Wikimedia. Mereka saling menjaga, saling mengambil berat dan begitu berkomitmen dalam menyelesaikan kerjaya mereka. Saya berpeluang berkenalan dengan mereka dan mereka sangat terbuka. Hal ini meyakinkan saya untuk membuka cerita dan berkongsi pengalaman dengan mereka. Meskipun saya sedikit lambat dalam menyampaikan apa yang saya maksudkan, mereka tetap sabar dan berusaha memahami apa yang saya maksudkan. Saya bersyukur bertemu dengan mereka di tempat ini. Banyak yang telah saya pelajari daripada gerakan komuniti Wikimedia mereka.

Jadual Wikimania 2026 yang disusun di Eventyay memudahkan saya untuk memilih bilik dan sesi yang saya inginkan. Terdapat banyak sesi yang berlangsung dalam masa yang bersamaan dan hal ini membuat saya rambang mata untuk memilih sesi manakah yang ingin saya pergi kerana semuanya pada saya amat sesuai untuk pemula seperti saya terutamanya dalam projek-projek Wikimania. Namun apa yang pada saya boleh dicontohi adalah dari segi pengurusan peserta di tempat ini. Kedudukan bilik-bilik konferens yang mudah dicari dengan adanya pelan lantai yang dibuat serta pengurusnya dan receptionist yang sentiasa membantu. Pengawalan yang ketat setiap keluar masuk sedikit merumitkan terutamanya pada hari saya membawa beberapa beg. Namun saya faham prosedur untuk lokasi seperti ini iaitu di Cites de Science Industries dan saya boleh melaluinya tanpa tekanan.

Saya juga berkesempatan menghadiri sesi seperti pemeliharaan bahasa minoriti dan bahasa peribumi yang bertajuk Keynote: Respecting Indigenous Knowledge in Open Spaces – Indigenous Cultural and Intellectual Property (ICIP) & Indigenous Data Sovereignty (IDSov) across Wikimedia Projects di Amphitheatre  pada 22 Julai 2026. Sesi ini membincangkan kepentingan menghormati hak budaya, harta intelek serta kedaulatan data masyarakat Orang Asal dalam platform pengetahuan terbuka seperti Wikipedia, Wikidata dan Wikimedia Commons. Saya teruja mendengarnya kerana ia berkaitan dengan yang juga memperjuangkan bahasa Kadazandusun (dtp) iaitu salah satu bahasa etnik di Sabah, Malaysia. Sesi ini memberi perspektif baharu bahawa usaha mendokumentasikan bahasa dan budaya bukan sekadar memperbanyak kandungan, tetapi juga perlu menghormati hak budaya, identiti dan suara komuniti Orang Asal agar pengetahuan yang dikongsi kekal sahih dan beretika.

Di samping itu, terdapat juga sesi lain seperti penglibatan komuniti dan pembangunan sukarelawan Selain itu, saya turut menghadiri bengkel bertajuk Social Integration of the New Generations: How Do We Turn Casual Editors into Community Leaders? yang memfokuskan kepada strategi membimbing penyunting baharu agar berkembang menjadi ahli komuniti yang aktif dan pemimpin dalam gerakan Wikimedia. Sesi ini mengetengahkan pelbagai amalan terbaik untuk menarik penyertaan penyunting baharu, menghargai sumbangan sukarelawan, menyediakan laluan pembangunan yang jelas serta mewujudkan komuniti. Perkongsian tersebut memberi inspirasi kepada saya untuk merancang pendekatan yang lebih sistematik dalam membangunkan komuniti Wikimedia, khususnya dalam kalangan generasi muda dan penutur bahasa Kadazandusun. Saya menyedari bahawa kejayaan sesebuah projek Wikimedia bukan sahaja bergantung pada kandungan yang dihasilkan, malah turut bergantung pada kekuatan komuniti yang sentiasa menyokong, membimbing dan menggalakkan penyertaan penyunting baharu. Pengetahuan yang diperoleh daripada sesi ini boleh diaplikasikan dalam usaha memperluaskan penyertaan masyarakat terhadap projek-projek Wikimedia serta melahirkan lebih ramai penyumbang aktif bagi mendokumentasikan bahasa dan budaya Kadazandusun. Sesi seperti ini sememangnya membantu saya memikirkan idea untuk menyebarluaskan lagi projek Wikimedia di samping membangun komuniti aktif yang rela menyumbang bagi projek-projek dalam Wikimedia. Saya ingin lebih terlibat dalam dunia Wikimedia ini yang merupakan satu dunia baru bagi saya yang berperanan besar dalam dunia digital. Lebih-lebih lagi, sesi-sesi ini memberi banyak idea baharu yang boleh diaplikasikan dalam usaha memartabatkan Bahasa Kadazandusun melalui platform Wikimedia.

Pada 23 Julai 2026, saya bertugas sebagai Room Assistant di Agora. Untuk itu, saya telah menyertai dua sesi yang satunya dalam bahasa Perancis. Namun, saya bersyukur kerana adanya alat penterjemah yang boleh dipinjam. Sesi pertama adalah sesi Accès refusé ? Le droit d’auteur face aux bibliothèques numériques yang berkaitan dengan hak cipta dalam dunia digital. Di mana Wikimedian perlu memberikan kredit kepada karya yang digunakan terutamanya yang masih mempunyai hak cipta. Selain itu, semasa saya bertugas juga saya menghadiri sesi Behind the Scenes: Opening Doors for Wikimedia Commons Photography. Sebagai penyumbang dalam projek Wikimedia Commons juga saya bersyukur kerana ada peluang untuk mendengarkan sesi ini sambil bertugas. Dallam sesi ini, ditekankan mengenai gambar yang berkualiti tinggi untuk membantu memperkayakan kandungan dan memberi gambaran yang sebenar dan bukannya gambar yang tidak jelas, kabur atau tidak berfokus.

Selain itu, salah satu pengalaman paling berharga ialah peluang berinteraksi dengan Wikimedian dari seluruh dunia. Melalui perbincangan tidak formal, saya dapat mempelajari pelbagai pendekatan yang digunakan oleh komuniti lain dalam memelihara bahasa dan budaya masing-masing. Pengalaman ini mengukuhkan keyakinan bahawa bahasa Kadazandusun juga mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dalam ekosistem digital. Saya bangga memperkenalkan bahasa dan tanah kelahiran saya kepada rakan-rakan lain. Sebagai bahasa minoriti yang semakin kurang penuturnya, jejak digital yang akan dicipta melalui projek dalam Wikimedia pasti akan membantu bahasa ini untuk terus subur. Sedikit sejarah mengenai bahasa Kadazandusun, ia pada mulanya hanyalah bahasa yang digunakan oleh etnik Kadazan Dusun di Sabah, namun dengan adanya usaha daripada pemimpin tempatan sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri ke-6 iaitu Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, bahasa ini menjadi salah satu subjek dalam kurikulum pendidikan khususnya di Sabah yang terdapat lebih 15 orang pemohon inginkan bahasa ini diajarkan. Usaha ini adalah satu perkara yang patut diraikan kerana bukan mudah untuk mengangkat bahasa minoriti ke dalam kurikulum. Untuk itu, dalam dunia digital pula saya inginkan bahasa ini terus dikenali pula di peringkat antarabangsa. Buat masa ini, para sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa yang mengambil major dalam subjek ini mengedit dan menterjemah malay dan english ke bahasa dusun dtp yang diperuntukkan untuk bahasa Kadazandusun.

Selain menghadiri persidangan, saya turut mengambil peluang untuk mengenali keunikan Paris. Lawatan ke beberapa lokasi ikonik memberikan pengalaman budaya yang menarik dan memperkayakan perspektif saya tentang kepelbagaian masyarakat dunia. Selain itu lawatan sampingan yang telah disediakan juga telah memberikan pengalaman baharu kepada saya. Saya Ronalita dan rakan Wikimedian Malaysia yang lain iaitu Taufik, Ahmad Ali, Zahirul Nukman, Jilorisa, Faris Hazman dan salah seorang Wikimedian Indonesia telah berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di Paris, Tourism Malaysia serta UNESCO Malaysia. Tujuannya adalah untuk berkongsi tentang gerakan Wikimedia Community User Group Malaysia di samping mencadangkan kerjasama pada masa akan datang. Pertemuan tersebut benar-benar membuka minda saya sebagai pemula. Saya telah mengambil bahagian sebagai pencatat sepanjang pertemuan tersebut. Saya sangat gembira dan teruja kerana dapat bertemu secara langsung dengan orang-orang penting seperti mereka.

Sebagai mahasiswa Kadazandusun, penyertaan dalam Wikimania 2026 membuka mata saya tentang kepentingan kerjasama global dalam usaha memelihara bahasa dan budaya. Saya menyedari bahawa setiap komuniti, tidak kira besar atau kecil, mempunyai peranan penting dalam membina pengetahuan bebas yang inklusif. Pengalaman ini turut memberi inspirasi untuk terus menyumbang kepada projek Wikimedia, khususnya dalam memperkaya kandungan berkaitan bahasa, budaya dan warisan Kadazandusun agar lebih dikenali oleh masyarakat global. Dan saya ingin menjadi lebih berani dan berkeyakinan dalam menyampaikan pandangan saya serta menguasai bahasa English dengan lebih baik. Hal ini kerana komunikasi adalah inti utama untuk menyertai persidangan seperti ini.

Saya ingin berterima kasih kepada pihak penganjur Wikimania 2026, komuniti Wikimedia yang sentiasa menyokong usaha sukarelawan, serta semua pihak yang telah membantu menjayakan penyertaan saya dalam program ini. Semoga pengalaman ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kolaborasi dan inisiatif untuk memperkasa pengetahuan bebas serta memelihara bahasa dan budaya Kadazandusun.

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?