Sehari di Sidang Hala Tuju Wikimedia Malaysia

Translate this post

Saya bersyukur kerana mendapat peluang untuk menghadiri Sidang Hala Tuju Wikimedia Malaysia kali ini. Menurut saudara Farouk selaku kakitangan WCUGM dalam acara pembukaan, perjumpaan seperti ini yang menghimpunkan wakil daripada beberapa komuniti merupakan yang pertama kali diadakan. Menurut pemahaman saya, ia bertujuan untuk merangka bersama hala tuju Wikimedia Malaysia terutamanya dari segi gerakannya dan bagaimana ia boleh berkembang. Untuk hal itu, wakil dari setiap komuniti seperti komuniti yang membangunkan Dusun Bundu Liwan (DTP), Dusun Kimaragang, bahasa Cina, dialek Kelantan dan bahasa Melayu digabungkan dan dikumpulkan.

Sidang ini dibahagikan kepada empat sesi utama iaitu pergerakan, masyarakat, ekosistem dan masa depan. Setiap sesi tersebut dibahagikan kepada pembentangan dan perbincangan. Menariknya, kali ini saya memahami apa yang disampaikan dalam sidang ini. Jika sebelum ini, saya tidak memahami apa-apa istilah dan fungsi yang digunakan, setelah beberapa kali mengikuti aktiviti yang menghimpunkan orang dalam projek Wiki ini, saya mula memahami apa yang dimaksudkan. Dan pada saya, itu merupakan satu kejayaan ataupun pencapaian yang saya harap akan terus berkembang dalam diri saya untuk pergerakan Wikimedia. Saya ingin terus bermotivasi untuk mengetahui lebih banyak tentang Wikimedia ini di samping memberikan sumbangan dari segi projek dan juga perluasan komuniti.

Pada sesi pertama, sesi ini berfokus kepada pergerakan. Pada mulanya saudara Farouk membentangkan mengenai pergerakan yang telah dijalankan oleh WCUGM sebelum ini. Setelah itu terdapat soalan yang perlu dijawab. Jawapannya boleh ditulis pada sticky note dan dilekatkan pada papan putih yang telah disediakan ataupun boleh juga mengangkat tangan untuk memberikan idea. Begitu juga dengan sesi seterusnya iaitu komuniti, ekosistem dan juga masa depan. Saya sangat seronok menulis pada sticky note di samping berbincang dengan rakan-rakan yang lain untuk menjawab persoalan. Tambahan pula, semua idea diterima dan tidak dipertikaikan kerana tujuan dan arahnya adalah sama iaitu untuk menambahkan kelangsungan projek-projek dalam Wikimedia.

Begitu banyak idea yang telah diketengahkan oleh semua. Terdapat juga ruang perbincangan ataupun penyuaraan pendapat. Masing-masing memberikan input dan saling membantu untuk menyelesaikan masalah antara satu komuniti dengan komuniti lain dan saya kagum dengan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh semua rakan-rakan Wiki saya. Setiap pandangan dan idea memberikan saya perspektif yang bahawa masih banyak yang perlu saya pelajari untuk menjadi sukarelawan Wikimedia yang aktif.

Pada fasa masa depan yang lebih kepada fasa merumuskan hasil perbincangan dan pembentangan dari pagi, terdapat banyak idea yang berjaya dihasilkan. Daripada pelbagai pandangan yang dikongsikan, saya dapat melihat bagaimana setiap perbincangan sebenarnya saling berkait dan membawa kepada satu persoalan yang sama apakah yang ingin kita lihat dalam gerakan Wikimedia Malaysia pada masa akan datang? Antara yang menarik perhatian saya ialah cadangan untuk mewujudkan Wikitombolog yang memfokuskan kepada burung-burung dan Wikibasaan yang memberi ruang pendokumentasian baju tradisional begitu juga dengan idea untuk mengumpul corak-corak sulaman bagi komuniti yang berbeza. Saya rasa idea seperti ini menarik kerana ia menunjukkan bahawa banyak lagi pengetahuan tempatan yang sebenarnya boleh diketengahkan melalui Wikimedia.

Selain menghasilkan kandungan, semasa sesi komuniti kami diminta turut memikirkan tentang bagaimana untuk membuatkan orang lebih tertarik untuk mengenali Wikipedia dan projek-projek Wikimedia. Salah satu idea yang saya suka ialah menghasilkan lebih banyak kandungan yang mudah dan menarik untuk media sosial, contohnya video-video pendek yang berkaitan dengan sesuatu fakta, sejarah, budaya atau artikel Wikipedia. Selepas menarik perhatian orang melalui video tersebut, kita boleh sertakan pautan ke artikel Wikipedia supaya mereka boleh membaca dengan lebih lanjut. Bagi saya, cara ini lebih dekat dengan bagaimana orang menggunakan media sosial sekarang. Tidak semua orang akan terus membuka Wikipedia dan membaca artikel yang panjang, tetapi mungkin mereka akan berhenti menonton video selama 30 saat kerana tajuknya menarik. Dari situ, mungkin mereka pula akan rasa ingin tahu dan klik pautan untuk membaca lebih lanjut.

Kami juga menyentuh tentang kepentingan saling menyokong kandungan Wikimedia di media sosial. Kadang-kadang sesuatu posting sudah dibuat dengan baik, tetapi tidak mendapat banyak capaian kerana kurang engagement. Jadi, ahli komuniti sendiri boleh memainkan peranan dengan berkongsi, memberikan komen atau sekadar membantu menaikkan engagement pada posting Wikimedia yang lain. Nampak kecil, tetapi apabila dilakukan bersama-sama, ia boleh membantu kandungan tersebut sampai kepada lebih ramai orang.Selain itu, terdapat juga cadangan untuk mengadakan pertandingan, menyediakan badge atau token sebagai bentuk penghargaan dan mengadakan lebih banyak meetup. Semua ini boleh menjadi cara untuk menjadikan aktiviti mengedit lebih menyeronokkan dan memberi sedikit motivasi kepada penyunting untuk terus aktif. Semakin lama saya mendengar idea-idea yang dibincangkan, semakin saya sedar bahawa membina Wikimedia bukan hanya tentang menghasilkan artikel. Ia juga tentang bagaimana kita membawa orang untuk mengenali Wikipedia, membaca kandungannya, berkongsi pengetahuan, menyumbang dan akhirnya menjadi sebahagian daripada komuniti. Terima kasih Wikimedia Malaysia untuk peluang menghadiri sidang ini!

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?