Bertumbuh daripada Kelab Wiki dan Menjadi Komuniti Menuju ke Masa Hadapan

Translate this post

Refleksi Sidang Hala Tuju Wikimedia Malaysia 2026

Selepas mengenali platform Wikimedia, saya memulakan perjalanan dalam memartabatkan bahasa komuniti saya, iaitu Bahasa Kadazandusun, melalui penyertaan dalam Kelab Wiki Kent. Kelab ini membuka ruang untuk saya mengenali dunia Wikimedia dengan lebih dekat dan menyumbang kepada dunia pengetahuan bebas.

Hari ini, perjalanan itu masih diteruskan dengan satu misi yang sama. Walaupun tempoh pengajian dan penglibatan saya sebagai ahli Kelab Wiki telah berlalu, semangat untuk menyumbang masih ada iaitu membawa bahasa Kadazandusun lebih jauh kepada dunia sebagai sebahagian daripada komuniti ini.

Pada 30 Ogos 2026, saya berpeluang menyertai Sidang Hala Tuju Wikimedia Malaysia 2026 di Kuala Lumpur, yang menghimpunkan Wikimedian dan penggerak komuniti daripada pelbagai latar belakang di Malaysia. Bagi saya, ini bukan sekadar sebuah persidangan. Ia merupakan ruang untuk kita berhenti seketika, melihat perjalanan yang telah dilalui dan membayangkan ke mana komuniti Wikimedia Malaysia mahu pergi seterusnya.

Felianiwiki, CC0, via Wikimedia Commons

Daripada Pelbagai Komuniti, Satu Gerakan

Antara perkara yang paling bermakna ialah peluang untuk bertemu dengan rakan-rakan daripada pelbagai komuniti seperti Kadazandusun, Kimaragang, Melayu, Cina dan komuniti lain. Setiap komuniti mempunyai cerita, bahasa dan cabaran yang berbeza. Namun, kami berkongsi satu perkara yang sama iaitu  kepercayaan bahawa pengetahuan seharusnya boleh diakses dan dikongsi oleh semua.

Sesi pertama, “Pergerakan”, membincangkan peranan Wikimedia Community User Group Malaysia dalam mengembangkan gerakan setiap komuniti di Malaysia dalam membina kerjasama dengan institusi pendidikan dan organisasi lain dalam memperkukuh bidang seperti khususnya bahasa, budaya, pelancongan dan perpustakaan.

Bagaimana Kita Membawa Komuniti Bersama?

Dalam sesi kedua, “Masyarakat”, dan sesi ketiga, “Ekosistem”, persoalan yang diketengahkan ialah: bagaimana kita boleh membawa lebih ramai orang ke dalam gerakan ini? Antara idea yang dikongsikan termasuklah kempen penyuntingan, gamifikasi dan penghargaan kepada sukarelawan serta pendekatan yang lebih dekat dengan golongan muda yang berpotensi untuk meneruskan sumbangan dalam mengembangkan kandungan dalam projek-projek Wikimedia.

Program seperti WikiGap Editathon, Wikipedia Pages Wanting Photos dan pelbagai edit-a-thon menunjukkan bahawa komuniti boleh berkembang apabila kita menyediakan ruang untuk orang ramai menyumbang mengikut minat dan kemampuan masing-masing. Wikimedia juga bukan hanya tentang Wikipedia. Wikidata, Wikisumber dan Wikikamus membuka lebih banyak peluang untuk kita membina, menghubungkan dan memelihara pengetahuan.

Wiki Farazi, CC0, via Wikimedia Commons

Membayangkan Masa Depan

Wiki Farazi, CC0, via Wikimedia Commons

Perbincangan tentang masa depan mungkin merupakan bahagian yang paling menarik bagi saya dalam sesi keempat, “Masa Depan”. Dalam tempoh 1 hingga 5 tahun akan datang, komuniti membayangkan pertambahan penyunting dan lebih banyak kandungan dalam bahasa etnik Sabah dan Sarawak serta pembangunan alat yang dapat memudahkan sumbangan seperti aplikasi Wikimedia Commons dan Wikidata. Untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang pula, impiannya lebih besar, penubuhan kelab Wiki di lebih banyak negeri dan institusi pendidikan, hab fizikal di Sabah dan aplikasi Wikimedia yang lebih khusus serta penggunaan data Wikimedia dalam pembangunan teknologi dan AI tempatan.

Bagi saya, satu impian yang paling penting ialah melihat bahasa-bahasa etnik terus berkembang sebagai bahasa ilmu dalam dunia digital.

Jjurieee, CC BY-SA 4.0 via Wikimedia Commons

Harapan untuk Komuniti Saya

Sebagai sebahagian daripada komuniti Kadazandusun, saya berharap lebih ramai anak muda daripada komuniti saya sendiri akan tampil menyumbang. Kita mempunyai begitu banyak cerita, istilah, pengetahuan tradisional, sejarah dan budaya yang boleh dikongsi. Bahasa kita tidak seharusnya hanya hidup dalam percakapan. Ia juga harus hidup dalam ruang digital.

Jjurieee, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons

Satu Hari, Satu Wake-Up Call

Sidang ini hanya berlangsung sehari, tetapi meninggalkan kesan yang lebih panjang kepada saya. Saya pulang dengan satu wake-up call  untuk kembali lebih aktif dan giat menyunting daripada sebelumnya untuk menghasilkan kandungan dan mengajak lebih ramai orang daripada komuniti saya untuk turut menyumbang.

Daripada Kelab Wiki, saya belajar tentang komuniti.

Daripada komuniti, saya belajar tentang gerakan.

Dan melalui gerakan ini, saya mula melihat masa depan.

Mungkin sumbangan kita hari ini hanya satu suntingan kecil. Tetapi apabila ribuan orang melakukan perkara yang sama, kita sedang membina sesuatu yang jauh lebih besar dimana dunia pengetahuan boleh diwarisi oleh generasi seterusnya.

Terima kasih Wikimedia Malaysia kerana mengingatkan saya bahawa setiap suntingan adalah sebahagian daripada perjalanan yang lebih besar.

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?