[Nota editor: Catatan ini pada asalnya diterbitkan dalam bahasa Inggeris pada Februari 2025]
Pada September 2024, tiga orang ahli Wikimedia Community User Group Malaysia (Ultron90, penutur bahasa Melayu; Rombituon, penutur bahasa Kadazandusun; dan Rumandawii, penutur bahasa Kadazandusun) telah menyertai Celtic Knot Conference 2024 yang diadakan di Waterford, Ireland. Persidangan antarabangsa ini menghimpunkan pelbagai kumpulan peminat dan pakar bahasa dalam gerakan Wikimedia yang komited terhadap usaha memelihara dan memartabatkan bahasa minoriti serta bahasa yang terancam kepupusan.

(Rumandawii, CC BY 4.0, via Wikimedia Commons)
Kebanyakan pembentang berkongsi tentang penggunaan projek-projek Wikimedia dalam usaha mendokumentasikan dan memelihara bahasa mereka. Perkongsian tersebut amat menarik dan boleh dijadikan contoh yang bernilai kepada banyak komuniti bahasa lain yang masih belum memanfaatkan projek-projek Wikimedia. Walau bagaimanapun, banyak komuniti bahasa di Malaysia berdepan dengan cabaran besar, termasuk kekurangan kemahiran, penyumbang yang komited, akses kepada teknologi dan kesalinghubungan, serta sokongan secara keseluruhan daripada komuniti itu sendiri. Usaha yang berterusan amat diperlukan untuk meningkatkan kesedaran dan membina sokongan, dengan harapan dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk terlibat dalam usaha memelihara dan mengembangkan bahasa.
Kami mendapat inspirasi daripada Ester Bonet, yang berkongsi pengalamannya dalam memartabatkan istilah bahasa Catalan melalui Wikipedia. Pendekatan beliau dalam menggunakan platform yang mudah diakses untuk pemeliharaan bahasa amat dekat dengan kami, kerana kami juga mempunyai minat yang sama untuk memanfaatkan platform sedemikian bagi menyokong bahasa-bahasa minoriti di negara kita seperti Kadazandusun, Mendriq, Kensiu, Iban, Bajau Pantai Barat, Semai dan banyak lagi. Eddie Avila pula menekankan kesan penglibatan dalam talian dengan berkongsi pandangan tentang meningkatkan penyertaan dalam projek bahasa Wikimedia melalui aktivisme digital. Usaha Musah Fuseini dalam membangunkan sumber pendidikan terbuka untuk pembelajaran bahasa Dagbani menunjukkan bagaimana Wikimedia dapat menyokong bahasa tempatan serta pendidikan. Hasil kerja mereka benar-benar memberikan inspirasi dan menunjukkan potensi projek-projek Wikimedia dalam memperkasa komuniti daripada pelbagai latar belakang.
Selain sesi pembentangan, kami turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik di luar persidangan. Antaranya ialah Guided City Walk bersama Waterford Treasures, yang membolehkan kami menerokai bandar bersejarah Waterford, serta Lino Print Workshop bersama artis Aoife Cawley, yang memberi peluang kepada kami mencuba sendiri teknik cetakan lino. Kami juga berpeluang merasai kemeriahan tarian tradisional Ireland melalui Sean-nós Dance Workshop yang dikendalikan oleh Stéip le Tura (Cuthbert Arutura). Semasa Conference Dinner pula, kami berkesempatan menikmati persembahan daripada pemuzik Ireland, Ushmush, yang menggabungkan rentak Afro-Caribbean dengan rap Ireland. Memandangkan ini merupakan kali pertama kami berada di Waterford, aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah turut memperkayakan pengalaman budaya kami sepanjang persidangan.


(Rumandawii, CC BY 4.0, via Wikimedia Commons)
Kami telah membina hubungan yang bermakna dan amat kami hargai, serta berharap dapat meneroka lebih banyak peluang pada masa hadapan untuk bekerjasama dan belajar daripada komuniti lain. Kami berharap dapat berhubung semula dengan mereka pada masa akan datang, seiring dengan usaha komuniti kami meneroka pelbagai pendekatan untuk mencapai hasil yang seimbang dan saling memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

(Rumandawii, CC BY 4.0, via Wikimedia Commons)

(Caroline Myrick, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons)
Kami juga berbesar hati kerana berpeluang menganjurkan satu acara satelit dalam talian yang membolehkan Wikimedian dari seluruh dunia turut serta sebagai sebahagian daripada persidangan ini. Pitabangan Waterford merupakan sebuah acara dalam talian yang menjemput Wikimedian dari seluruh dunia untuk menghasilkan rencana dalam Wikipedia bahasa masing-masing dengan menyumbangkan maklumat tentang Waterford, bandar yang menjadi tuan rumah Celtic Knot 2024. Pitabangan ialah perkataan dalam bahasa Kadazandusun yang bermaksud “bekerjasama atau bekerja bersama-sama untuk mencapai matlamat yang dikongsi”. Seramai 24 penyumbang daripada 13 edisi bahasa Wikipedia telah mengambil bahagian dalam aktiviti ini, yang menghasilkan 96 rencana baharu dalam pelbagai bahasa. Selain menghasilkan dan menambah baik rencana Wikipedia, fail baharu di Wikimedia Commons dan item data baharu di Wikidata turut dicipta serta ditambah baik. Kelab Wiki Kent turut menganjurkan Pitabangan Waterford mereka sendiri dan berjaya menghasilkan 20 rencana baharu dalam bahasa Kadazandusun. Aktiviti ini menyerlahkan kepentingan kerjasama dan usaha kolektif dalam berkongsi pengetahuan melalui platform Wikimedia. Kami bukan sahaja terkejut dengan jumlah peserta serta kepelbagaian bahasa yang terlibat dalam Pitabangan Waterford, malah turut menerima penghargaan khas daripada Datuk Bandar Metropolitan Waterford atas penganjuran aktiviti pertukaran dalam talian ini.

Menyertai Celtic Knot 2024 telah memberikan kami perspektif baharu serta pandangan praktikal yang boleh dibawa pulang dan dikongsikan dengan komuniti kami. Pada masa hadapan, kami berhasrat untuk memperkukuh usaha di peringkat tempatan, meningkatkan penglibatan komuniti dan membina kesedaran terhadap projek-projek bahasa kami. Kami berharap dapat mewujudkan persekitaran yang menggalakkan lebih ramai penyumbang untuk bersama-sama menyumbang, sekali gus menjadikan pemeliharaan warisan bahasa kita sebagai matlamat bersama komuniti.
Sebagai sebahagian daripada Wikimedia Community User Group Malaysia, kami berharap dapat berhubung dan bekerjasama dengan lebih banyak komuniti di seluruh dunia untuk bersama-sama melindungi budaya dan bahasa kita melalui projek-projek Wikimedia.
Can you help us translate this article?
In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?
Start translation