Daripada Kelab Wiki Kent ke Kota Marudu: Menyemai Semangat Gerakan Pengetahuan Bebas dalam Komuniti Kimaragang
Saya mula mengenali dunia Wikimedia semasa melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Perguruan pengkhususan Bahasa Kadazandusun melalui penglibatan dalam Kelab Wiki Kent. Penglibatan tersebut secara langsung telah membawa saya menjadi salah seorang penyumbang aktif dalam komuniti Kadazandusun.
Sejak aktif bermula tahun 2023 menerusi projek Wikikamus, Wikipedia, dan Wikimedia Commons, pelbagai pencapaian telah berjaya digapai bersama. Antaranya termasuklah penterjemahan ribuan patah kata dari Bahasa Kadazandusun ke Bahasa Melayu di Wikikamus, penubuhan Wikipedia Bahasa Kadazandusun, serta muat naik lebih 2,000 fail gambar kebudayaan menerusi acara besar seperti Perayaan Kaamatan. Selain itu, kami juga berjaya menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak luar.

Bermula dari tahun 2024 hingga 2025, saya telah diberi kepercayaan untuk memimpin Kelab Wiki Kent. Peluang kepimpinan ini memberikan saya banyak pengajaran berharga mengenai pengurusan dalaman dan luaran, terutamanya berkaitan kerjasama antara organisasi—seperti ketika penganjuran Wikitour yang memerlukan kami berhubung dengan pihak pentadbir IPGM Kampus Rajang bagi persetujuan penganjuran program bersama.
Membawa Pengalaman Kampus Kembali ke Akar Umbi
Selepas berusaha keras bersama rakan-rakan penggerak dalam komuniti Kadazandusun, kini saya telah menamatkan pengajian dan bergelar alumni Kelab Wiki Kent. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang ada, saya pulang ke daerah asal saya di Kota Marudu di mana komuniti utamanya adalah masyarakat Kimaragang. dan saya juga merupakan sebahagian daripada komuniti ini.
Pencapaian serta kerjasama erat komuniti Kadazandusun di bawah bimbingan Wikimedia Community User Group Malaysia (WCUGM) telah memberi inspirasi besar kepada saya. Saya percaya sekiranya model usaha ini diadaptasi ke dalam komuniti Kimaragang, pencapaian yang serupa atau lebih besar, mampu direalisasikan.

Hasrat utama saya kini adalah untuk mewujudkan Wikipedia Bahasa Kimaragang. Pengalaman menerajui kelab di kampus menjadi pendorong utama untuk saya menggerakkan usaha ini dalam komuniti sendiri. Walaupun menyedari laluan ini tidak mudah, sokongan daripada WCUGM serta ruang bertukar fikiran bersama rakan-rakan daripada komuniti lain memberikan keyakinan untuk melangkah.
Benih Pertama di Kota Marudu
Langkah pertama diambil dengan menghubungi rakan-rakan di Kota Marudu untuk bertemu dan berbincang. Dalam pertemuan tersebut, saya memulakan penerangan asas mengenai gerakan Wikimedia, peranan WCUGM, projek-projek yang ada, serta manfaat jangka panjangnya terhadap pemeliharaan budaya dan bahasa Kimaragang. Saya turut menyatakan pendedahan dan hasrat utama untuk merealisasikan penubuhan Wikipedia Bahasa Kimaragang.
Bagi saya, penggunaan Bahasa Kimaragang dalam penulisan atas talian masih belum terancam oleh kepesatan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kerana AI masih belum menguasai bahasa ini secara mendalam, memandangkan struktur dan sumber penulisan digital Bahasa Kimaragang amat berbeza berbanding Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

Permulaan Kecil yang Bermakna
Pada 12 Ogos 2026, bermulalah pertemuan sulung Komuniti Wikimedia Kimaragang. Walaupun pada awalnya pertemuan ini hanya dihadiri oleh dua orang, saya tidak asing dengan situasi permulaan sedemikian.
Keadaan ini mirip dengan pengalaman awal penglibatan kami di Kelab Wiki Kent. Selepas penganjuran Bengkel Wikikamus pada November 2022, hanya dua hingga tiga orang sahaja yang terlibat secara aktif. Namun, seiring berjalannya waktu dan konsistensi usaha, jumlah tersebut berkembang menjadi puluhan ahli dan akhirnya mampu menganjurkan program-program berskala besar. Perjalanan ini baru sahaja bermula, dan saya percaya benih kecil yang disemai hari ini bakal bertumbuh menjadi sebuah komuniti yang kukuh pada masa hadapan.
Can you help us translate this article?
In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?
Start translation