SoKiD 2.0: Membawa Bahasa Kadazandusun ke Dunia Digital melalui Wikikamus

Translate this post

Bagaimana jika satu perkataan yang kita masukkan hari ini menjadi sebahagian daripada warisan digital bahasa Kadazandusun untuk generasi akan datang?

Pada 9 September 2026, sebanyak 70 orang murid dari 15 sekolah rendah di Sabah berkumpul di Sekolah Kebangsaan Tengkurus, Kota Belud untuk satu tujuan yang mungkin kelihatan sederhana, tetapi membawa makna yang besar iaitu mendokumentasikan perkataan Bahasa Kadazandusun ke dunia digital melalui projek Wikikamus.

Inilah Program SoKiD 2.0 singkatan kepada Sompuruan Komi Boros Kadazandusun, atau Kumpulan Kosa Kata Bahasa Kadazandusun. 

Rombituon, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons

Daripada kosa kata kepada dunia digital

Bahasa Kadazandusun merupakan salah satu bahasa utama yang digunakan oleh masyarakat di Sabah. Namun, seperti banyak bahasa warisan yang lain, penggunaannya dalam kalangan generasi muda berdepan cabaran.

Dalam konteks sekolah, murid masih mempunyai penguasaan kosa kata asas yang terhad. Ada yang mengenali sesuatu perkataan tetapi kurang memahami makna, konteks penggunaan atau cara menggunakannya dalam ayat. Apabila kosa kata terhad, pembelajaran, penulisan dan komunikasi dalam bahasa ibunda juga menjadi lebih mencabar.

Di sinilah SoKiD cuba membawa pendekatan yang berbeza.

Daripada sekadar menghafal perkataan, murid diajak untuk mengenali, memahami, menyunting dan mendokumentasikan kosa kata Bahasa Kadazandusun sendiri di alam Maya melalui projek Wikikamus.

Jjurieee, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons

Pendekatan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Program SoKiD telah mula dilaksanakan di peringkat daerah Kota Belud pada tahun 2025 melalui Bengkel Wikikamus Bahasa Kadazandusun. Sambutan dan maklum balas positif daripada pelaksanaan tersebut membuka ruang untuk program ini diteruskan dan diadakan sekali lagi untuk peringkat negeri pula dengan keterlibatan 15 buah sekolah dari pelbagai daerah selain daripada daerah Kota Belud. 

Daripada sebuah intervensi di sekolah, SoKiD mula menunjukkan potensi sebagai satu pendekatan yang menghubungkan bahasa, pendidikan dan teknologi.

Jjurieee, CC BY-SA 4.0,  via Wikimedia Commons

Satu bengkel, 15 sekolah, ribuan perkataan

Bengkel SoKiD 2.0 dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Tengkurus, serta kolaborasi sukarelawan Wikimedia Malaysia yang terdiri daripada 10 orang sebagai fasilitator.

Jjurieee, CC BY-SA 4.0,  via Wikimedia Commons

Peserta datang dari 15 sekolah:

  • SK Tengkurus, Kota Belud
  • SK Torintidon, Kota Belud
  • SK Melangkap, Kota Belud
  • SK Lasau Podi, Kota Belud
  • SK Timbang, Kota Belud
  • SK Piasau, Kota Belud
  • SK Dudar, Kota Belud
  • SK Linongkuan, Tuaran
  • SK St. John, Tuaran
  • SK Kimondou, Ranau
  • SK Kauluan, Ranau
  • SK Dallas, Pitas
  • SK Maringgan, Pitas
  • SK Gana, Kota Marudu
  • SK Barambangon, Kudat

Dalam tempoh kira-kira dua jam, murid bukan sahaja belajar tentang Wikikamus, tetapi turut menjadi penyumbang kepada sebuah sumber bahasa terbuka.

Hasilnya?

Jjurieee, CC BY-SA 4.0,  via Wikimedia Commons

2,849 perkataan baharu Bahasa Kadazandusun–Bahasa Melayu berjaya dimasukkan ke Wikikamus.

Selain itu, sebanyak 3,280 suntingan dilakukan untuk memperbaiki dan menambahkan contoh ayat pada halaman terjemahan yang sedia ada. Secara purata, sekitar 41 kata baharu dapat disumbangkan bagi setiap editor sepanjang bengkel berlangsung.

Angka-angka ini mungkin kelihatan seperti statistik biasa. Tetapi di sebalik setiap perkataan itu ada seorang murid yang belajar tentang bahasanya sendiri melalui projek Wikikamus. 

Jjurieee, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons

Murid bukan hanya belajar, mereka sebagai “penyumbang”

Antara penyumbang teratas ialah Lestley10 dari SK Tengkurus, Kota Belud, yang menyumbangkan 163 kata baharu. Diikuti Hannah Evangeline Valerie Cornie Bryan dari SK Kauluan, Ranau dengan 131 kata baharu, dan Loevellyca dari SK Lasau Podi, Kota Belud dengan 102 kata baharu.

Jjurieee, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons

Kisah seperti ini menunjukkan satu perkara penting iaitu murid sekolah rendah juga boleh menjadi sebahagian daripada gerakan pengetahuan terbuka apabila diberikan ruang, bimbingan dan kepercayaan.

Wikikamus dalam konteks ini bukan sekadar sebuah laman untuk mencari maksud perkataan. Ia menjadi ruang pembelajaran yang membolehkan murid melihat bahasa mereka sebagai sesuatu yang bernilai untuk direkodkan, dikongsi dan diwariskan.

SoKiD bukan sekadar nama

Ada satu perkara menarik tentang nama program ini.

Dalam Bahasa Kadazandusun, “sokid” membawa maksud “tanah tinggi”.

Secara simbolik, nama ini menggambarkan aspirasi program untuk membawa Bahasa Kadazandusun ke tempat yang lebih tinggi, bukan sahaja dalam bilik darjah, tetapi juga dalam ruang digital.

Melalui Wikimedia, perkataan yang mungkin hanya digunakan dalam perbualan keluarga atau komuniti setempat kini mempunyai peluang untuk ditemui oleh sesiapa sahaja yang mencari, mempelajari atau ingin mengenali Bahasa Kadazandusun dan mungkin, suatu hari nanti, seorang pelajar dari luar Sabah akan menaip satu perkataan Kadazandusun ke dalam enjin carian dan menemui hasil kerja murid-murid ini.

Dari sekolah Kebangsaan Tengkurus, menuju lebih banyak sekolah

Rulwarih, CC BY 4.0, via Wikimedia Commons

Kejayaan bengkel ini turut membuka harapan agar SoKiD dapat diteruskan sebagai program tahunan Panitia Bahasa Kadazandusun, khususnya melalui kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta sokongan dan bimbingan daripada Wikimedia Malaysia.

Puan Lorendah, Timbalan Pegawai (PPD Kota Belud) turut menyokong usaha kolaborasi ini, manakala Encik Sisom bin Awang, Guru Besar SK. Tengkurus Kota Belud menyatakan kesediaan untuk membantu sekolah-sekolah lain yang berminat melaksanakan program yang sama.

Rombituon, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons

Bagi SK Tengkurus, langkah ini mungkin bermula dengan satu bengkel. Namun, matlamatnya lebih besar daripada program sehari. 

Ia adalah tentang membina satu ekosistem di mana murid belajar bahasa, guru membimbing, komuniti menyumbang dan teknologi membantu memastikan bahasa tersebut terus wujud dalam dunia digital.

Jjurieee, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons

Satu perkataan pada satu masa

Pemeliharaan bahasa tidak semestinya bermula dengan projek yang besar.

Kadangkala, ia bermula dengan satu perkataan.

Satu perkataan yang diketahui oleh seorang murid.
Satu perkataan yang disumbangkan ke Wikikamus.
Satu perkataan yang kemudiannya boleh dibaca oleh orang lain.
Dan akhirnya, satu lagi cebisan bahasa yang tidak hilang begitu sahaja.

SoKiD 2.0 membuktikan bahawa apabila pendidikan dan Wikimedia bertemu, murid bukan hanya menjadi pengguna pengetahuan namun mereka juga boleh menjadi pencipta dan penjaga pengetahuan. 

Daripada 2,849 perkataan baharu yang disumbangkan dalam satu bengkel, mungkin inilah permulaan kepada ribuan lagi perkataan Bahasa Kadazandusun yang akan terus hidup di dunia digital. Kami daripada Wikimedia Malaysia sangat menggalakkan dan mengharapkan program sedemikian untuk membawa lebih ramai penyumbang bahasa etnik untuk kekal menyumbang dan menyunting lebih banyak kandungan bahasa etnik dalam projek-projek Wikimedia lebih-lebih lagi bahasa daripada komuniti Kadazandusun ini. 

Jjurieee, CC BY-SA 4.0, via Wikimedia Commons

Satu perkataan pada satu masa. Satu murid pada satu masa. Satu komuniti menuju masa hadapan.

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?