Pada 20 Oktober 2026, kami telah menutup sementara Perkhidmatan Awan Wikimedia (Wikimedia Cloud Services, WMCS) dan perkhidmatan lain kepada luar talian sebagai langkah berjaga-jaga ekoran dua kerentanan ketara yang ditemui dalam PHP, iaitu bahasa pengaturcaraan yang menjadi sandaran kebanyakan perkhidmatan kami. Yayasan PHP (PHP Foundation) telah menerbitkan satu nasihat keselamatan mendahului pengumuman tersebut berikutan tahap keseriusan kerentanan ini.
Memastikan projek-projek Wikimedia dan para penggunanya kekal selamat dan terjamin merupakan keutamaan tertinggi kami. Sebahagian besar maklumat pada projek Wikimedia adalah bersifat awam dan tersedia untuk semua orang, namun projek kami semestinya mengandungi beberapa maklumat peribadi yang sangat penting untuk dirahsiakan. Melindungi privasi pengguna ialah bahagian penting dalam pengetahuan bebas, dan Dasar Privasi Yayasan Wikimedia mengikat komitmen kami untuk berusaha memastikan maklumat peribadi bukan awam sentiasa selamat.
Semasa insiden ini, semua versi PHP memerlukan penaiktarafan serta-merta bagi melindungi infrastruktur kami daripada terjejas dan untuk melindungi privasi pengguna. Disebabkan oleh model penyelenggara terbuka yang mendasari WMCS, penyelenggara projek individu bertanggungjawab untuk menguruskan perisian yang dijalankan pada tika (”instance”) mereka. Ini bermakna kami tidak dapat memberi jaminan secara berpusat bahawa setiap tika telah dikemas kini untuk menangani kerentanan yang baru didedahkan. Selain itu, disebabkan oleh model perkongsian sumbernya, apabila kerentanan seperti ini wujud dalam salah satu projek yang dihoskan, ia mendatangkan potensi ancaman kepada projek-projek WMCS yang lain.
WMCS ialah sumber yang amat berharga buat komuniti kami. Kami memahami bahawa terdapat perkhidmatan yang penting dan popular (termasuk ClueBot NG dan alatan antisalah guna yang lain) yang dijalankan pada WMCS. Tatkala kami mengembalikan perkhidmatan ke dalam talian, kami mengutamakan keselamatan sistem kami dan sekuriti data yang dipertanggungjawabkan kepada kami untuk dilindungi, berbanding ketersediaan. Hal ini juga terpakai kepada banyak perkhidmatan lain yang turut diletakkan di luar talian, termasuk infrastruktur Phabricator kami, perkhidmatan dokumentasi dan perkhidmatan penyepaduan berterusan (”continuous integration”) yang penting untuk operasi Yayasan serta para sukarelawan teknikal yang membantu menyokong pergerakan ini.
Kami akan mengembalikan WMCS ke dalam talian sebaik sahaja kami dapat memastikan ia berada dalam keadaan yang selamat, tetapi ia akan mengambil masa untuk menyemak semula bukan sahaja aplikasi-aplikasi yang terjejas malah model operasinya juga. Matlamat kami adalah untuk mengembalikan aplikasi Toolforge bukan PHP ke dalam talian terlebih dahulu. Kami menjangkakan garis masa yang lebih panjang untuk mengembalikan aplikasi Toolforge PHP, dan aplikasi VPS Awan (Cloud VPS) bukan Toolforge, ke dalam talian memandangkan isu-isu keselamatan yang telah digariskan di atas.
Langkah seterusnya
Sebaik sahaja kami selesai menilai risiko-risiko ini dan menentukan bagaimana kami boleh memulihkan akses kepada projek-projek yang dihoskan pada WMCS, kami akan menerbitkan ringkasan pascainsiden yang merangkumi apa yang telah kami temui.
Apabila kami mempunyai kemas kini untuk para penyelenggara alatan, kami akan berkongsikannya melalui senarai mel ini dan mengemas kini halaman Wikitech ini. Jika anda menyelenggara sebarang alatan dan mempunyai sebarang pertanyaan, sila siarkannya di halaman perbincangan ini. Terima kasih atas kesabaran anda sedang kami mengambil langkah-langkah untuk memastikan warga dan projek kami kekal selamat.
Can you help us translate this article?
In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?
Start translation