Wikipedia Bahasa Kadazandusun: Satu Tonggak Penting dalam Mempertahankan Warisan Orang Asli

Translate this post

Pada 28 Mei 2024, Wikipedia Bahasa Kadazandusun (BKD) telah berjaya dilancarkan setelah sekian lama terbiar. Wikipedia merupakan sebuah ensiklopedia bebas yang dimulakan pada tahun 2001 bertujuan untuk membebaskan pengetahuan tentang pelbagai maklumat yang boleh diakses dan disunting oleh sesiapa sahaja dari seluruh dunia dalam bentuk rencana dan merupakan salah satu projek Wikimedia Foundation (WMF). Oleh itu, Wikipedia bahasa Kadazandusun ini dikhaskan untuk memasukkan artikel-artikel dalam bahasa Kadazandusun dalam usaha memperbanyakkan lagi bahan bacaan atau maklumat dalam talian tentang bahasa ini dengan penggunaan dialek standard iaitu dusun-liwan.

Pada Mac 2023, Kelab Wiki Kent di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kent, Tuaran telah diperkenalkan dengan Wikimedia Incubator yang merupakan test wiki sebelum pemaju melancarkan sebuah Wikipedia. Wikimedia Incubator yang dikhaskan untuk bahasa Kadazandusun ini sudah lama wujud sejak tahun 2011 lagi dan sudah lebih 10 tahun terbengkalai kerana, tiadanya penyunting atau penyumbang yang bergiat aktif dalam memasukkan maklumat-maklumat dalam bahasa ini. Pada asalnya hanya beberapa penyumbang sahaja yang menyunting dalam platform ini kira-kira 1 hingga 5 orang yang juga semakin kurang aktif dalam penyuntingan sehinggalah pada tahun 2023 dimana ia diperkenalkan oleh Taufik Rosman kepada ahli Kelab Wiki Kent di IPGM Kampus Kent. Kelab Wiki Kent merupakan persatuan pelajar di Malaysia yang bergerak untuk memperluaskan lagi komuniti Wikimedia di Malaysia dengan sokongan Wikimedia Community User Group Malaysia (WCUGM) dalam gerakan Wikimedia seluruh negara. Pelajar-pelajar ini merupakan guru pelatih yang mengambil major dalam Bahasa Kadazandusun dengan objektif Kelab Wiki Kent untuk memartabatkan bahasa Kadazandusun, memperkenalkan budaya-budaya masyarakat Kadazandusun di peringkat global serta mendigitalisasi pengetahuan budaya dan bahasa Kadazandusun melalui platform-platform Wikimedia.

Kelab Wiki Kent, IPGM Kampus Kent
JjurieeeCC BY-SA 4.0, dari Wikimedia Commons

Usaha untuk mengaktifkan semula Wikimedia Incubator khas untuk Bahasa Kadazandusun ini, diperkukuhkan lagi pada September 2023 selepas beberapa orang ahli Kelab Wiki Kent serta pensyarah IPGM Kampus Kent terlibat dalam persidangan Wikimania 2023 yang diadakan di Suntec Singapore Convention and Exhibition Centre.

Wikimania 2023
JjurieeeCC BY-SA 4.0, dari Wikimedia Commons

Setelah itu, sebuah mesyuarat untuk membincangkan usaha-usaha pelancaran Wikipedia bagi Bahasa Kadazandusun dan bahasa Bajau Sama telah dilaksanakan melalui platform zoom yang telah dihadiri oleh wikimedian daripada WCUGM, ahli Kelab Wiki Kent dan beberapa wikimedian daripada komuniti Bajau Sama pada 15 Disember 2023. Antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi demi memudahkan pelulusan Wikipedia yang telah dibincangkan disini ialah mesti mempunyai sekurang-kurangnya 3 penyunting yang aktif dengan jumlah suntingan hendaklah melebihi 11 suntingan setiap bulan selama 5 hingga 8 bulan berturut-turut pada incubator dtp (dtp merupakan kod bagi Kadazandusun di Wikimedia). Selain itu, terjemahan antaramuka (most important messages) pada translatewiki hendaklah mencapai 100% serta memasukkan rencana bersifat ensiklopedia yang bermutu.

Slaid mesyuarat untuk kelulusan Wikipedia BDR & DTP
Farouk Azim
CC BY-SA 4.0, dari Wikimedia Commons

Cadangan bagi pelulusan Wikipedia BKD ini telah dihantar pada 13 Januari 2024 oleh Farouk Azim (Nama pengguna: ultron90) seorang wikimedian daripada WCUGM. Kemudian, pada 20 Februari 2024, sebuah perbincangan dengan language committee telah dilaksanakan namun cabaran yang dihadapi adalah kurangnya engagement daripada ahli-ahli language committee yang lain. Usaha ini diteruskan sehingga 3 Mac 2024, dimana Language Committee telah dihubungi melalui emel demi melicinkan pelulusan Wikipedia Bahasa Kadazandusun ini. Masalah yang dikenalpasti tetap sama dimana hanya seorang sahaja ahli language committee yang memberikan maklum balas serta pendapat tentang pelancaran Wikipedia ini. Akhirnya, pengumuman pra-pelulusan Wikipedia BKD telah diterima pada 5 Mei 2024 sehinggalah ia diluluskan untuk penciptaan Wikipedia BKD pada 17 Mei 2024.

Usaha-usaha dalam merealisasikan Wikipedia BKD ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana pelbagai isu dan cabaran yang telah dilalui sepanjang pelulusannya. Terdapat juga isu diambang penciptaan Wikipedia ini misalnya terdapat pengguna yang mula mempertikaikan istilah-istilah yang digunakan dalam artikel-artikel bahasa Kadazandusun ini. Namun demikian, isu berikut dapat ditangani melalui perbincangan bersama dalam komuniti pengguna BKD dimana kebanyakkannya bersetuju untuk mengekalkan penggunaan-penggunaan istilah yang sesuai mengikut dialek standard yang sering digunakan dalam bahasa Kadazandusun.

Disepanjang usaha ini juga, kami mendapati bahawa penyertaan sukarelawan lain adalah sangat penting bagi mempermudahkan lagi usaha ini melalui penciptaan templat-templat agar artikel berwajah seperti artikel Wikipedia yang sebenar. Tanpa templat sedemikian, artikel ini pasti akan kosong. Penyumbang terbesar dalam penciptaan Wikipedia ini adalah seperti Rombituon, Ultron90, Jjurieee, Blusjai dan CorrelMoris38. Beberapa sukarelawan ahli Kelab Wiki Kent yang lain turut terlibat dalam penyuntingan ini.

Dari kiri (berdiri): ultron90, Blusjai, Tofeiku, Meqqal
Dari kiri (duduk): Michelina Michael, Rombituon, Jjurieee, 23jvvn, CorrelMoris38
Jjurieee
CC BY-SA 4.0, dari Wikimedia Commons

Usaha warga kelab wiki kent turut dapat dilihat melalui usaha mereka melengkapkan terjemahan teks antaramuka (most important messages) hingga 100% yang mempercepatkan pelulusan Wikipedia BKD. Selain itu, hak menjadi admin juga amat membantu dalam menguruskan artikel yang sudah lama dan tajuk yang tidak betul.

 “Minat dalam menyumbang serta semangat adalah kunci yang sangat penting dalam menjadi sukarelawan atau wikimedian dalam membebaskan pengetahuan. Misalnya, Jilorisa John dengan username: Rombituon, sering bertanya dan meminta tunjuk ajar tentang cara penciptaan templat sehinggalah menjadi admin dalam projek incubator BKD yang juga banyak membantu dalam memperbetulkan kesilapan dalam aspek linguistik BKD dalam artikel-artikel yang dimasukkan memandangkan saya tidak arif dalam bidang Bahasa Kadazandusun” kata Farouk Azim yang membantu dalam menghantar cadangan pelulusan Wikipedia BKD ini kepada langcom.

Mini Bengkel Wikipedia & Incubator oleh Farouk Azim bersama-sama dengan ahli Kelab Wiki Kent.
Farouk AzimCC BY-SA 4.0, dari Wikimedia Commons

Manakala bagi Kelab Wiki Kent pula, mereka telah memainkan peranan, dengan menggalakkan ahli-ahlinya untuk terus aktif menyunting dalam projek incubator untuk mempercepatkan usaha ini dimana, mereka telah menjalankan editathon projek incubator BKD pada 15 Januari 2024 bersempena dengan Hari Jadi Wikipedia yang ke-23. Disini mereka telah memperbaiki artikel-artikel yang dimasukkan dan juga mencipta artikel-artikel baru.

Pada 11 Mac 2024 pula program WikiGap 2024 telah diadakan, dimana Kelab Wiki Kent turut menyunting pada incubator BKD untuk memasukkan artikel-artikel berkaitan tokoh Wanita sempena hari Wanita sedunia melalui program WikiGap yang dijalankan serentak di Malaysia dengan kerjasama Embassy of Sweden.

Sehingga kini, sebanyak 858 artikel BKD yang telah wujud dalam projek incubator sehinggalah lancarnya Wikipedia Bahasa Kadazandusun. Akhir kata, usaha-usaha pelulusan Wikipedia Kadazandusun ini bukanlah mudah kerana wujudnya susah dan senang seperti rollercoaster dan jika bukan kerana ketabahan dan usaha para wikimedian Kelab Wiki Kent dengan sokongan teguh daripada WCUGM maka tidak akan wujud Wikipedia BKD seperti ini.

“Sekalung penghargaan dan ribuan ucapan terima kasih ingin saya sampaikan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha mewujudkan Wikipedia Bahasa kadazandusun meskipun banyak cabaran yang ditempuhi” daripada Jurina Jonimin (nama pengguna: Jjurieee) pengerusi Kelab Wiki Kent.

Ucapan tahniah juga kepada pejuang-pejuang bahasa Kadazandusun merangkap ahli-ahli Kelab Wiki Kent yang amat teguh dan bersemangat yang tinggi dalam memartabatkan dan memastikan agar wujudnya platform yang membolehkan bahasa dan budaya ini dapat dijaga, didokumentasikan, didigitalisasikan dan diglobalisasikan melalui platform Wikimedia, terutamanya dalam Wikipedia Bahasa Kadazandusun sebagai rujukan orang ramai dalam menangani cabaran yang ditempuhi oleh bahasa ini iaitu kurangnya bahan-bahan bacaan atau rujukan dalam bahasa Kadazandusun. Disamping itu, usaha ini juga merupakan peluang untuk mengangkat bahasa dan budaya masyarakat Kadazandusun ke peringkat global kerana Wikimedia merupakan suatu gerakan seluruh dunia dimana bahasa dan budaya ini akan dapat diperkenalkan sehingga ke persada dunia.

Ketahui lebih lanjut di:

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?