Ucap hai kepada akaun sementara: kerjasama lebih mudah dengan penyunting tanpa log masuk dan perlindungan privasi yang lebih baik

Translate this post

Yayasan Wikimedia sedang melancarkan akaun sementara untuk penyunting yang tidak berdaftar (tidak log masuk) di beberapa projek wiki. Komuniti berpeluang menguji dan memberikan komen untuk menambah baik ciri ini sebelum ia dilaksanakan di semua wiki pada pertengahan 2025.

Di kebanyakan wiki, suntingan yang dibuat oleh pengguna tanpa log masuk (atau awanama) terkait dengan alamat IP yang digunakan pada masa penerbitan suntingan tersebut. Alamat IP ialah nombor unik yang mengenal pasti peranti yang disambungkan ke Internet. Akaun sementara ialah jenis akaun pengguna baharu yang kini terdapat di 12 wiki, dan akan diperluaskan ke semua wiki pada tahun hadapan. Akaun ini akan digunakan untuk mengaitkan suntingan baharu oleh pengguna tanpa log masuk, menggantikan alamat IP. Namun, ini bukan penggantian sepenuhnya. Pertama, pengguna sementara akan mempunyai akses kepada fungsi yang kini tidak dapat diakses oleh penyunting yang tidak log masuk. Kedua, projek Wikimedia akan terus menggunakan alamat IP penyunting yang tidak log masuk, dan ahli komuniti yang berpengalaman akan terus mempunyai akses kepada maklumat ini. Perubahan ini amat relevan bagi penyunting yang tidak log masuk dan sesiapa yang menggunakan alamat IP untuk menyekat pengguna dan memastikan keselamatan wiki.

Ini adalah yang pertama dalam siri kiriman didedikasikan untuk akaun sementara. Ia memberikan gambaran asas mengenai projek ini, kesannya terhadap pelbagai kumpulan pengguna, dan rancangan untuk memperkenalkan perubahan di semua wiki. Kiriman seterusnya akan memberikan lebih banyak maklumat tentang cara kami bekerjasama dengan ahli komuniti yang mempunyai kebenaran teknikal lanjutan. Berdasarkan nasihat mereka, kami telah mengaitkan pelaksanaan ini dengan pembangunan fungsi tertentu.


Mandat perundangan untuk perubahan ini

Perubahan undang-undang dan peraturan mengenai privasi internet meningkatkan keperluan untuk projek Wikimedia melindungi data peribadi dengan lebih kukuh. Untuk memenuhi keperluan ini, Yayasan Wikimedia perlu mengubah cara penyunting tanpa log masuk berinteraksi dengan wiki dan kaedah data peribadi mereka dikendalikan. Penyelesaiannya ialah pengenalan akaun sementara – ini akan meningkatkan privasi penyunting tanpa log masuk. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang keperluan akaun sementara, lihat bahagian undang-undang dalam Soalan Lazim kami dan kemas kini tahun 2021 daripada pasukan Undang-Undang.

Bagaimana akaun sementara berfungsi?

Sejarah halaman dengan log suntingan yang dibuat oleh akaun sementara, dua alamat IP, dan seorang pengguna berdaftar (tangkapan skrin dari Wikipedia Serbo-Crotia)

Projek Wikimedia membenarkan sesiapa sahaja untuk menyunting, sama ada dengan atau tanpa mencipta akaun. Ini adalah salah satu prinsip asas kami. Apabila suntingan dibuat melalui akaun berdaftar, suntingan tersebut akan dikaitkan dengan akaun tersebut dalam pelbagai log dan halaman seperti Perubahan Terkini atau sejarah halaman. Apabila suntingan dibuat tanpa akaun, suntingan tersebut akan dikaitkan dengan akaun sementara yang dijana secara automatik. Akaun sementara ini akan dicipta bagi pihak penyunting yang tidak log masuk dan akan bertahan selama 90 hari. Semua suntingan seterusnya oleh peranti yang sama akan dikaitkan dengan akaun sementara yang sama.

Nama akaun ini mengikut corak: ~2024-1234567 (simbol tilde, tahun semasa, nombor). Nombor ini akan bertambah secara automatik, sehingga pengguna seterusnya akan menjadi ~2024-1234568, dan seterusnya. Pengguna tidak akan dibenarkan memilih nama ini.

Akaun yang sama akan digunakan walaupun alamat IP berubah, kecuali jika pengguna mengosongkan kuki pelayar (cookie browser) mereka atau menggunakan peranti atau pelayar web yang berbeza. Rekod alamat IP yang digunakan semasa setiap suntingan akan disimpan selama 90 hari selepas suntingan tersebut. Hanya beberapa pengguna yang log masuk akan dapat melihatnya.

90 hari selepas tarikh penciptaan akaun, kuki akan tamat tempoh. Semua suntingan yang diterbitkan akan terus dikaitkan dengan akaun tersebut, tetapi untuk pengguna (pengguna yang log masuk), jika mereka terus menyunting sebagai penyunting yang tidak log masuk, mereka akan diberikan akaun sementara baharu. Akaun sementara tidak boleh ditukar menjadi akaun berdaftar. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara akaun sementara berfungsi, lihat halaman bantuan kami.

Di mana akaun sementara diaktifkan?

Akaun sementara kini diaktifkan di Wikipedia dalam bahasa: Kantonis, Belanda, Igbo, Bokmål Norway, Romania, Serbia, Serbo-Croatia, Swahili, juga Wikiversity Czech, Wikipetikan Itali, Wikibuku Jepun, and Wikikamus Persia.

Apa kesan ini terhadap kumpulan pengguna yang berbeza?

Untuk pembaca yang tiada akaun Wikipedia

Tiada yang berubah! Jika anda tidak menyunting, tidak log masuk, dan hanya membaca Wikipedia (atau menggunakan Wikidata, Wikimedia Commons, dan sebagainya), tiada sebarang perbezaan dari perspektif anda.

Untuk penyunting yang tidak log masuk

Gambar menunjukkan paparan halaman perbincangan pengguna akaun sementara. Terdapat ikon notifikasi dalam menu pengguna di penjuru kanan atas – beberapa ciri yang tidak boleh diakses oleh penyunting IP (tangkapan skrin dari testwiki).
  • Ini meningkatkan privasi: pada masa ini, jika anda tidak menggunakan akaun berdaftar untuk menyunting, maka semua orang boleh melihat alamat IP bagi suntingan yang anda buat, walaupun selepas 90 hari. Itu tidak lagi akan berlaku di wiki yang mengaktifkan akaun sementara.
  • Jika anda menggunakan akaun sementara untuk menyunting dari lokasi yang berbeza dalam tempoh 90 hari yang lepas (contohnya di rumah dan di kedai kopi), sejarah suntingan dan alamat IP untuk semua lokasi tersebut akan direkodkan bersama, untuk akaun sementara yang sama. Pengguna yang memenuhi syarat akan dapat melihat data ini. Jika ini menimbulkan sebarang kebimbangan keselamatan peribadi untuk anda, sila hubungi talktohumanrights at wikimedia dot org untuk mendapatkan nasihat.

Untuk ahli komuniti yang berinteraksi dengan penyunting tanpa log masuk

Pengguna sementara boleh disebut (di-ping) dalam perbincangan, dan mereka akan menerima notifikasi mengenainya
  • Akaun sementara dihubungkan secara unik kepada peranti. Sebagai perbandingan, alamat IP boleh dikongsi dengan pelbagai peranti dan individu (contohnya, beberapa orang di sekolah atau tempat kerja mungkin mempunyai alamat IP yang sama).
  • Identiti pengguna sementara akan lebih stabil berbanding pengguna IP. Jika anda melihat suntingan mereka dan meninggalkan mesej mengenainya di halaman perbincangan mereka, kemungkinan besar orang yang membuat suntingan itu akan membaca mesej tersebut, walaupun mengambil sedikit masa.
  • Akaun sementara mempunyai fungsi serupa dengan akaun berdaftar dalam beberapa aspek. Kami mungkin akan membolehkan lebih banyak ciri untuk akaun ini pada masa hadapan. Seperti yang anda lihat dalam tangkapan skrin di atas, pengguna akaun sementara akan dapat menerima notifikasi. Mereka juga boleh diberikan ucapan terima kasih atas suntingan mereka, disebut dalam perbincangan, dan dijemput untuk lebih terlibat dalam komuniti.

Untuk pengguna yang menggunakan data alamat IP untuk memantau dan menyelenggara wiki

Paparan sejarah halaman bagi penyelia. Ciri pendedahan IP dipaparkan di sebelah nama pengguna akaun sementara (tangkapan skrin dari testwiki)
  • Untuk pemantau (patroller) yang menjejaki penyalahguna berulang, menyiasat pelanggaran polisi, dan lain-lain: Pengguna yang memenuhi syarat akan dapat mendedahkan alamat IP pengguna sementara serta semua sumbangan yang dibuat oleh akaun sementara dari alamat IP atau julat tertentu. Mereka juga akan mempunyai akses kepada maklumat berguna tentang alamat IP melalui ciri IP Info. Banyak perisian lain telah dibina atau disesuaikan untuk berfungsi dengan akaun sementara termasuk AbuseFilter, sekatan global, Sumbangan Pengguna Global, dan lain-lain.
  • Untuk penyelia yang menyekat pengguna tanpa log masuk:
    • Penyelia boleh menyekat ramai penyalahguna hanya dengan menyekat akaun sementara mereka. Orang yang disekat tidak akan dapat mencipta akaun sementara baharu dengan cepat jika pentadbir memilih pilihan sekatan automatik.
    • Penyelia masih boleh menyekat alamat IP atau julat IP.
  • Kami sedang, dan akan bekerjasama dengan pengguna lain yang mempunyai kebenaran lanjutan, seperti pengelola (stewards). Dengan komen dan soalan yang bernilai daripada pengguna ini, kami telah mengemas kini alat dan menjadualkan pelancaran berdasarkan kemas kini ini.
  • Akaun sementara tidak akan diterapkan secara retroaktif kepada sumbangan yang dibuat sebelum pelancaran. Di halaman Khas:Sumbangan, anda akan dapat melihat sumbangan pengguna IP sedia ada, tetapi bukan sumbangan baharu yang dibuat oleh akaun sementara pada alamat IP tersebut. Sebaliknya, pengguna yang memenuhi syarat harus menggunakan halaman Khas:SumbanganIP untuk perkara ini

Bila akaun sementara akan dilancarkan di lebih banyak wiki?

  • Seperti yang kami sebutkan, kami telah melancarkan akaun sementara di kumpulan pertama projek wiki. Fasa ini dipanggil pelancaran percubaan kecil. Ia akan membantu kami mengenal pasti sebarang masalah yang perlu diperbaiki sebelum akaun sementara diaktifkan di lebih banyak wiki. Kami perlu melihat bagaimana ahli komuniti berinteraksi dengan akaun sementara, jika semua alat sedia ada dan baharu berfungsi dengan baik, jika pengguna berpengalaman dapat menjalankan tugas mereka dengan selesa, dan sebagainya. Kami akan sentiasa memantau kesan projek ini dan berkongsi laporan secara berkala. Anda boleh melihat papan pemuka awam dengan data metrik masa nyata
  • Jika tiada banyak kerja yang tidak dijangka, kami akan melancarkan di wiki yang lebih besar pada Februari 2025. Kami memanggilnya pelancaran percubaan utama. Ia mungkin termasuk beberapa wiki 10 teratas yang menunjukkan minat mereka (tulis kepada kami di sini). Namun, kami lebih suka tidak melancarkan di Wikipedia Bahasa Inggeris pada fasa itu.
  • Seterusnya, pada pertengahan 2025, kami akan melancarkan di semua wiki yang tinggal dalam satu langkah yang diselaraskan dengan teliti. Selepas itu, kami akan menyediakan sokongan, memantau metrik, dan menyelesaikan masalah apabila ia timbul.

Kami akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan kepada semua yang terlibat lebih awal. Maklumat mengenai akaun sementara akan tersedia di Tech News, Diff, blog-blog lain, halaman wiki yang berbeza, sepanduk, dan bentuk lain. Di persidangan, kami atau rakan sekerja kami bagi pihak kami menjemput hadirin untuk bercakap mengenai projek ini. Selain itu, kami juga menghubungi rakan kongsi yang menjalankan program sokongan komuniti.


Langgan surat berita baharu kami untuk terus berhubung. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang projek ini, lihat Soalan Lazim dan semak kemas kini terkini. Hubungi kami di halaman projek atau di luar wiki. Jumpa lagi!

Can you help us translate this article?

In order for this article to reach as many people as possible we would like your help. Can you translate this article to get the message out?